Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah, beliau merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah.
Selepas Peperangan Bu’as, penduduk Madinah
sudah bersepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai ketua di Madinah,
malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah bersetuju melantik
Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang
menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.
Sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke
Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai
ahli Kitab, orang beragama yang memiliki peradaban yang mulia berbanding
orang-orang Arab Madinah. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan
mempunyai kekuatan dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai
ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka
dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah. Lantaran itu, orang Arab Madinah suka
meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi orang
Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja. Walaupun
tidak menerima agama Yahudi, banyak nilai-nilai moral Yahudi diterima pakai
oleh orang Arab Madinah.
Golongan Arab Madinah yang berilmu
merupakan orang yang paling banyak mencedok peradaban Yahudi dan meng’Arab’kan
peradaban tersebut, termasuklah Abdullah bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai
mempraktikkan nilai-nilai moral yang lebih tinggi daripada orang Arab Madinah
yang lain. Oleh kerana itu, mereka dipandang tinggi dan dihormati.
Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di
antara dua golongan terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang
suku-suku mereka yang mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku, Abdullah bin
Ubai juga tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap berkecualinya
menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang
berperang itu berdamai.
Walaupun menimba dari telaga Yahudi, namun
ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-Araban mereka. Sikap yang demikian
menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan
juga Arab. Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan orang Yahudi yang
berilmu dan mereka lebih mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa
yang terbentuk dalam aliran pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu
bentuk kepercayaan atau akidah yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan
satu perkara sahaja, iaitu merekalah golongan Arab yang paling pintar dan
orang-orang Arab yang lain tidak sama dengan mereka.
Apabila agama Islam datang ke Madinah
dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai sejak awal-awal lagi
telah menolaknya. Mereka menganggap apa yang baru datang itu lebih rendah
daripada apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan
sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima.
Sebagaimana golongan Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah
daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air
daripada telaga Yahudi, menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada
mereka. Mereka adalah golongan yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata,
telinga dan hati mereka daripada segala agama yang datang kepada mereka.
Arus perkembangan Islam melanda Madinah
dengan pantas dan menyeluruh. Dalam tempoh kurang dari satu tahun, hampir
keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam. Segala aktiviti
tertumpu kepada Nabi Muhammad SAW dan agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai
yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan lain,
melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah supaya tidak
tersisih. Namun, penyertaan mereka sebenarnya bertujuan mencari jalan merampas
semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi
Muhammad SAW. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.
Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu
bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama dipertahankan, mereka
boleh bergerak cergas dalam apa juga medan kepercayaan atau agama. Istilah
dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram tidak ada pada
mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang
diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut
menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil ‘MUNAFIK’.
Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan
tidak merelakannya.
Munafik berbeza daripada kafir. Orang
kafir tidak meyakini agama Islam kerana mereka mempunyai kepercayaan sendiri
dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan mereka terhadap Islam
adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam,
mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan
sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan
Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang
Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulen. Mereka menganggap Islam
laksana baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan hanya apabila ianya
mendatangkan keuntungan kepada mereka.
Allah SWT berfirman tentang keadaan
golongan munafik: “Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami
telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang
yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal
mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak
sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka
dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan
apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”,
mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”.
Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka
tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang
yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti
orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh
tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang
beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan
syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain
melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman).” (QS Al-Baqarah: 8~14)
Orang munafik sangat berbeza daripada
orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara
terang-terangan atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan
nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula
mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai
amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang
dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman
kepada Allah SWT dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang
yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai
dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang
ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mahu dijaga.
Golongan munafik tidak mengakui kenabian
dan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka, Nabi Muhammad SAW hanyalah
seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang dipandang
lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad SAW.
Mereka mahu agar Baginda SAW mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak
mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh kerana itu, mereka
tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah SWT. Mereka menganggap wahyu
hanyalah perkataan Nabi Muhammad SAW yang sama dengan perkataan orang lain yang
boleh dihujah dan ditolak. Golongan munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi,
sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT memperingatkan Rasulullah SAW
supaya sentiasa berwaspada terhadap golongan munafik yang akan mencuba untuk
membawa baginda SAW tunduk kepada pemimpin mereka. Rasulullah SAW juga diperingatkan
bahawa golongan munafik itu tidak suka kepada Baginda SAW: “Wahai Nabi!
Patuhlah kepada Allah dan jangan engkau turuti orang-orang kafir dan munafik,
sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Bijaksana.” (QS al-Ahzab: 1)
“Dan jangan engkau tunduk kepada
orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah gangguan mereka. Dan
berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pemelihara.” (QS
Al-Ahzab: 48)
“Apabila dikatakan kepada mereka:
"Marilah kamu kepada hukum yang Allah telah diturunkan dan kepada hukum
Rasul", niscaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi (manusia)
dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu.” (QS An-Nisa’: 61)
“Di antara mereka (orang-orang munafik)
ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: "Nabi mempercayai semua apa yang
didengarnya". Katakanlah: "Ia mempercayai semua yang baik bagi kamu,
ia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat
bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti
Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.” (QS At-Taubah: 61)
Jadi, amat sukar untuk menangani golongan
munafik kerana secara terang-terangan mereka mengaku beriman walaupun hati
mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang yang
basah. Firman Allah SWT: “Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu
untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka
sukakan jika adalah mereka orang yang beriman.” (QS At-Taubah: 62)
Oleh kerana golongan munafik hidup dalam
kepura-puraan, mereka sangat takut jika rahsia mereka diketahui oleh orang
lain. FirmanNya: “Orang-orang yang munafik itu takut akan diturunkan terhadap
mereka sesuatu surat yang menerangkan apa yang tersembunyi dalam hati mereka.
Katakanlah kepada mereka: "Teruskanlah ejekan-ejekanmu (terhadap Allah dan
Rasul-Nya)". Sesungguhnya Allah akan menyatakan apa yang kamu takuti itu.”
(QS At-Taubah: 64)
Apabila rahsia mereka terbongkar, golongan
munafik akan berdolak-dalih. Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat
dielakkan golongan munafik tidak akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan
yang mereka telah lakukan. Firman Allah SWT: “Dan jika engkau tanyakan kepada
mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda dan bermain-main”.
Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu hendak
berolok-olok?” (QS At-Taubah: 65)
Golongan munafik menyebarkan ajaran yang
menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan peraturan amal makruf dan
mencegah kemungkaran, mereka akan menilai yang makruf sebagai keuntungan
duniawi dan yang mungkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap zakat dan
sedekah bukan sebagai amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan.
FirmanNya: “Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan, sebahagian dengan
sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan
melarang berbuat yang makruf dan mereka menggenggamkan tangannya. Mereka telah
lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang
munafik, itulah orang-orang yang fasik.” (QS At-Taubah: 67)
Golongan juga berani menggunakan nama
Allah bagi menutup kesesatan dan kekufuran mereka. Allah SWT memerintahkan agar
Nabi SAW berjihad memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang-orang yang
kufur. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan
munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah
jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan
nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan
kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini
apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan
kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan
kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik bagi mereka dan jika
mereka berpaling, Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di
dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada
penolong.” (QS At-Taubah: 73~74)
Al-Quran memberi peringatan tentang
ancaman golongan munafik terhadap keselamatan dan kepercayaan orang yang
beriman. Allah SWT telah menamakan satu surah al-Quran dengan surah
‘Al-Munafiqun’, bagi mengingatkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran
golongan munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Allah SWT menggesa Nabi
Muhammad SAW dan kaum Muslimin pada semua zaman agar sentiasa berwaspada
terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada golongan munafik.
FirmanNya: “Apabila orang munafik datang
kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui bahawasanya kamu Rasul Allah,”
padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan
bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang berdusta. Mereka jadikan
sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi manusia dari
jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian
lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu dimeterai atas hati mereka; oleh
itu mereka tidak dapat memahami. Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan
kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka berkata-kata, engkau dengarkan
perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang disandarkan. Tiap-tiap teriakan
mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah musuh; maka hendaklah
engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah mereka dipalingkan?"
(QS Al-Munafiqun: 1~4)
Allah SWT telah memperingatkan kepada Nabi
SAW dan kaum Muslimin pada setiap masa supaya jangan membiarkan racun yang
ditabur oleh golongan munafik memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi
peringatan dengan firmanNya: “Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan
munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan tempat kembali mereka itu
adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali." (QS At-Tahrim:
9)
Allah SWT telah memberi peringatan kepada
kaum Muslimin, sekiranya kegiatan golongan munafik yang mencampur adukkan
kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung, nescaya umat
Islam akan menemui kehancuran. Umat Islam mestilah berwaspada terhadap orang
munafik yang berada di tengah-tengah mereka. Tanda munafik mudah dikenal
melalui keengganan mereka berjuang pada jalan Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Dan supaya Allah
mengetahui siapa orang yang munafik. Kepada mereka dikatakan: "Marilah
berperang di jalan Allah atau pertahankanlah (dirimu) ". Mereka berkata:
"Sekiranya kami mengetahui akan terjadi peperangan, tentulah kami
mengikuti kamu". Mereka pada hari itu lebih dekat kepada kekafiran dari
pada keimanan. Mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak ada terkandung
dalam hatinya. Dan Allah lebih mengetahui apa yang mereka sembunyikan.
Orang-orang yang mengatakan kepada saudara-saudaranya dan mereka tidak turut
pergi berperang: "Sekiranya mereka mengikuti kita, tentulah mereka tidak
terbunuh ". Katakanlah:" Tolaklah kematian itu dari dirimu, jika kamu
orang-orang yang benar.” (QS Ali Imran: 167~168)
Kemunafikan jelas lebih ketara melalui
ibadat yang mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-mata untuk tontonan.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah
akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat, mereka
berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya’ di hadapan manusia. Dan tidaklah
mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali. Mereka dalam keadaan ragu-ragu
antara yang demikian: Tidak masuk kepada golongan ini (orang-orang beriman) dan
tidak (pula) kepada golongan itu (orang-orang kafir). Barangsiapa yang
disesatkan Allah, maka kamu sekali-kali tidak akan mendapat jalan baginya.” (QS
An-Nisa’: 142~143)
Allah SWT telah memberi amaran yang yang
keras kepada orang-orang munafik melalui firmanNya: “Sesungguhnya jika tidak
berhenti orang-orang munafik, orang-orang yang berpenyakit dalam hatinya dan
orang-orang yang menyebarkan khabar bohong di Madinah (dari menyakitimu),
niscaya Kami perintahkan kamu (untuk memerangi) mereka, kemudian mereka tidak
menjadi tetanggamu melainkan dalam waktu yang sebentar, dalam keadaan
terlaknat. Di mana saja mereka dijumpai, mereka ditangkap dan dibunuh dengan
sehebat-hebatnya. Sebagai sunnah Allah yang berlaku atas orang-orang yang telah
terdahulu sebelum (mu), dan kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan
pada sunnah Allah.” (QS Al-Ahzab: 60~62)
Dari as-Syaikhan dari Ibn.'Amr, Rasulullah
SAW bersabda: "Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia
seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari
sifat?sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia
meninggalkan sifat itu iaitu : Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia
mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan
apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang." (HR Bukhari dan
Muslim)
Kesimpulannya, Al-Quran dan hadis
Rasulullah SAW telah memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik.
Rasulullah SAW dan kaum Muslimin mengenali golongan munafik yang ada di dalam
masyarakat mereka. Mereka dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin
Ubai adalah pemimpin golongan munafik. Keterangan yang telah diberikan oleh
al-Quran memberi manfaat bagi kaum Muslimin dalam mengawasi pergerakan golongan
munafik agar perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin dapat
dipelihara. Umat Islam yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk
daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh mereka.
Abdullah bin Ubai
telah pun mati. Markas golongan munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu Awan,
sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah SAW. Tetapi kaum
Muslimin perlu sentiasa berwaspada kerana racun munafik sentiasa berjalan
hingga ke hari ini.
Golongan munafik
terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama orang
Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan kaum
Muslimin, malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada orang-orang
Islam yang lain.
Memang sukar untuk
mengenali hati yang munafik kerana mulutnya mengucapkan Dua Kalimah Syahadah
dan anggotanya melakukan ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain. Orang
munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan
menggunakan ajaran Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh
kaum Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat
Islam. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri.
Golongan munafik adalah ilmuan yang mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis
palsu, terutamanya dalam soal yang bersangkutan dengan akidah dan kebatinan.
Daripada golongan yang demikianlah muncul istilah kebudayaan Islam yang
ditampalkan kepada kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan.
Lahir pula persatuan
Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada pula
istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai sarang
perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan
sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan oleh Abdullah bin
Ubai dan teman-temannya sudah meresap ke dalam darah daging umat Islam di
seluruh dunia pada hari ini. Hanya bimbingan daripada Allah SWT yang dapat
menyelamatkan umat Islam daripada fitnah golongan munafik itu.
Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan
dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak pasti apakah yang mereka pegang
dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan pegangan orang lain
dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap menggunakan
label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal.
Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam,
tetapi apa yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang
berilmu dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru
kerana si munafik bercakap tentang Allah SWT dan agama Islam. Lebih-lebih lagi
si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul yang
tidak ada kesudahan.
Mereka bijak menggunakan cara berteka teki
yang sukar difahami. Lebih mengelirukan lagi apabila mereka berhujah dengan
menyandarkan kepada Hadis Rasulullah SAW, perkataan sahabat dan wali-wali yang
mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Orang munafik
sanggup bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang
yang jahil.
Orang Islam yang jahil mudah terperangkap
dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah
setelah berlaku proses asimilasi unsur-unsur agama-agama lain seperti Buddha,
Hindu dan Kristian ke dalam agama Islam.
Setiap kaum Muslimin yang insaf berkewajipan
menyelak setiap hamparan dan membongkar setiap tutupan bagi mencari racun
munafik yang bersembunyi di dalam kalangan umat Islam. Racun tersebut mestilah
dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment