Saudara, sebenarnya secara peribadi saya tidak tahu saudara. Tidak pernah jumpa kecuali masa saudara kecil di sekolah di Pakistan oleh Jemaah Arqam. Saya bangga, saudara jadi begitu kedepan hasil bersekolah dengan Arqam! Setelah dewasa, saya dengar saudara ada masaalah dengan jemaah di tempat saudara bekerja (sekolah). Sudahnya saya dengar saudara keluar dari jemaah tapi isteri pertama tidak mahu ikut keluar, bersama 5 orang anak! Bila jemaah bagi pilihan pada isteri (Syamsiah) ikut suami atau jemaah. Dia memilih jemaah! Dia meminta perlindungan diatas tekanan yang saudara berikan padanya. Hal ini ada di tulis Syamsiah sebagai reaksi kepada kenyataan saudara akhir-akhir ini. Berikut kenyataan Syamsiah:
“Saya memilih untuk terus bersama jemaah tanpa dipaksa oleh sesiapa. Dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, saya tak boleh hidup sendiri kerana berjemaah itu rahmat dan saya amat yakin inilah jemaah yang cari selama ini.
Hidup bagaikan adik beradik, bagaikan satu ibu dan satu ayah. Apa yang penting di sini saya dididik untuk membersihkan hati yang saya tak dapat ditempat lain. Hidup tanpa pimpinan mursyid tak mungkin saya akan selamat. Semuanya telah saya perolehi didalam jemaah ini. Mana mungkin saya meninggalkannya.”
Kalau saudara tidak percaya bahawa tiada siapa memujuk Syamsiah untuk meninggalkan suaminya. Mari kita serahkan kepada Allah, hakim seadil-adilnya untuk adili masaalah kita ini. Anda setuju kita serahkan pada Allah?
Tidak hanya itu, saudara rupanya tidak puashati dengan banyak perkara tentang saya dan GISB. Tapi tidak pula mahu berbincang dengan saya terlebih dahulu terus di dedahkan didalam akhbar dan media. Begitu bertanggungjawabnya saudara dengan nasib Islam dan Iman saya dan GISB terutama dengan anak isteri! Syabas Saudara Zawawi Aman.
Hal aqidah yang saudara paling bimbangkan nampaknya. Mari kita bincangkan bersama-sama hal kesesatan Arqam. Saudara, memang umat Islam di seluruh dunia hari ini mengalami masaalah yang teruk-teruk! terutama hal-hal aqidah kerana kita tidak ada Nabi. Adanya aliran Sunni dan Wahabi saja sudah menjadikan dunia Islam terpecah dua. Masing-masing menyalahkan masing-masing terutama hal-hal Aqidah! Saudara Zawawi Aman sekalipun benar tapi asyik gagal saja menangani saya, bahkan anak isteri. Jadi siapa kah yang boleh kita harapkan untuk menyelesaikan semua masaalah umat Islam ini. Sesudah aqidah perkara yang akan ditanya Allah di hari akhirat ialah sembahyang. Berapa ramai umat Islam di Malaysia saja yang betul-betul aqidahnya tapi tidak sembahyang 5 kali sehari! Siapa yang akan selesaikan masaalah-masaalah ini semua saudara. Allah tidak bagi jalan keluar ke? Mana Nabi untuk kita kerana dunia jahiliyah mesti ditangani oleh seorang Nabi! Setuju ke saudara Zawawi, bahawa seorang Nabi di perlukan oleh dunia akhir zaman ini? Dan kalau Nabi Muhammad sudah tidak mampu berperanan, Allah kena hantarkan untuk kita Nabi lain. Betul tak? Tapi mana ada Nabi lagi sesudah Muhammad SAW sebab dialah Nabi akhir zaman! Macamana ni Saudara, Nabi Muhammad itu masih jadi Nabi ke tidak untuk selesaikan segala masaalah kita.
Sebenarnya di depan Kaabah, di Mekah, sekarang ini itulah yang sedang saya tanyakan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Saya bercakap-cakap kepada Allah dan kepada Rasulullah SAW. Saya merasakan kampung mereka ini kampung saya juga. Saya merasa mempunyai mereka disini. Allah memberi macam-macam bukti bahawa Dia wujud dan bersama saya untuk membela Islam di Mekah kampung Yahudi ini! Setuju tak Mekah dalam tangan Yahudi? 2 tahun lamanya saya mengkaji dan memang Pusat Agama Islam, Kiblat orang yang bersembahyang memang dalam tangan Yahudi! Datanglah saudara ajak Hashim Jaafar sekali untuk lihat apa sebenarnya yang sedang berlaku di Kampung Rasulullah SAW. Rasulullah SAW itu boleh di temui sebenarnya. Sepertilah Allah memanggil kita untuk mengadap Nya 5 kali sehari . Sesungguhnya Rasul juga memanggil dengan rindu agar kita berhubung dengannya melalui solawat. Jadi sebelum sembahyang kita solawat, mohon Rasulullah SAW jadi wasilah pertemuan kita dengan Allah dalam sembahyang! Ya ke tidak ni saudara? Ke saya bersalah dalam hal ini? Tolong jawab ya! Sudah 30 tahun saya didisiplinkan untuk bersolawat kepada Nabi. Nabi yang pernah mengaku merindui para ikhwan! Apa saudara mengalami merindui Nabi yang tidak pernah bersua wajah itu?
Saya di Mekah meminta pada Rasulullah SAW agar jangan kembalikan saya ke Malaysia lagi sebab saya terlalu rindukan Baginda. Saya merasakan Mekah kampung saya. Saya ada Nabi rupanya. Bukan jasad tapi dengan rohnya. (Rasulkan dah wafat. Macamana boleh anda percaya Rasulullah SAW pegang betis saya. Waras kah orang yang mempercayainya?) Hati saya sangat-sangat merasakannya! Kalau saudara anggap saya berbohong dan mereka-mereka cipta agama itu hak saudara sedangkan saya mengalaminya. Ugama itu kan cintakan Allah, rindukan Rasul? Tanpa cinta dan rindu bagaimana kita mampu taati mereka? Tidakkah roh sembahyang ialah percintaan hamba dengan Tuhan yang terlalu Agong cintaNya? Sedangkan Allah dan Rasul tidak mampu dilihat dengan mata kasar?
Wahai Saudara Zawawi Aman,
Kalau kesesatan yang berlaku kepada kami tu ialah untuk mendapatkan Allah dan Rasul bukan kah ia ialah keganjilan. Ganjil di banding masyarakat Islam biasa? Rasulullah SAW kan dituduh sesat juga sebab yang dibawanya itu baru! Apa tidak mungkin kah bahawa kami ini sedang melalui apa yang telah dilalui Rasulullah SAW? Sebab waktu ini agama sebenar telah hancur. Bila ada yang baru tentu ganjil! Sebab di Mekah Madinah kini GISB sangatlah berkembang dan membesar! Hati-hati kami diproses untuk merasa gentar bila mana nama Allah disebut.
Mekah tu kan Qiblat? Di Mekah ada Kaabah. Di Mekah ialah di Pusat Rasulullah SAW. Mekah kan terkenal sebagai tempat suci? Siapa yang sesat Kaabah tidak terima. Siapa yang membawa dosa-dosa besar kan bermasaalah di Mekah? Itu semua orang tahu! Sebab itu dah ramai rakyat Malaysia yang ke Mekah, pergi ke Chalet Nur Muhammad GISB, lantas berkata, Arqam tidak sesat! Sebab orang tahu di Mekah, kalau sesat Allah tidak terima. Tapi kalau di Mekah boleh hidup macam kampung sendiri ini confirm la orang Allah dan Rasul. Kata mereka! Kalau saudara menolak hakikat bahawa bila GISB boleh bertapak di Mekah dan Madinah ertinya GISB itu berada dibawah perlindungan Kaabah. Cubalah saudara berfikir begini : Dah berderet dah orang yang nak gagalkan Umu Jah dan GISB di Mekah tu, tapi nampaknya mereka terus bebas melakukan aktiviti-aktiviti mereka. Kuasa apa yang melindungi mereka daripada segala halangan yang ditimpakan? Lebih baik aku tanya mereka, apakah rahsia mereka ini ye?
Maka GISB pun menjawablah begini : -
Orang Islam yang terancam untuk memperjuangkan Islam ditempat lain, maka berhijrahlah mencari perlindungan di kampung Rasulullah SAW. Berlindung dengan kuasa Allah dan Rasul nescayalah kamu akan mendapatkan pertolongan dari sebesar-besar kuasa! Maka sejak itu kamu dan Islam yang kamu perjuangkan nescayalah tidak akan kalah-kalah lagi.
Bukankah di Qiblat kita itu ada Baitullah? Itulah gunanya rumah Allah itu kepada umat islam! Masakan orang Islam yang berTuhankan Allah dan Rasul tidak mempunyai jalan-jalan keluar daripada masaalah-masaalah mereka?
Lalu wahai saudara Zawawi Aman, silalah bertindak apa pun yang diinginkan keatas GISB, saudara akan lihat nanti bagaimana Kaabah bereaksi! Kaabah yang masih dalam tangan Yahudi, namun pusat pentadbiran kerajaan Maha Ajaib itu, bukankah sedang menggiatkan kebangkitan Islam kali kedua? Yang Allah dan Rasul janjikan? Diakhir zaman ditangan orang melayu? Bila Abuya dan GISB sudah ke Mekah, segalanya sudah tidak boleh disangkal lagi saudara.
Datang la tengok sendiri apa yang berlaku! Mana boleh tengok dari jauh saja dan memberi penilaian jarak jauh. Kita bincang dulu, barulah saudara membuat kesimpulan tentang GISB. Kan saudara ada anak seorang sedang berjuang bersama Umu Jah di Mekah? Qutaibah umurnya 19 tahun. Tanya dia kenapa dia memilih GISB. Saya ibu angkat nya! Tiap-tiap hari kami sama-sama berusaha untuk membela Rasulullah SAW yang kian dilupakan orang di Mekah ini. Saudara bertuah mempunyai anak soleh yang begitu gigih berjuang untuk Islam, Allah dan Rasul.
Projek-projek GISB di Mekah Madinah itulah hasil perjuangan kami atas apa yang kami yakini. Keyakinan itu rupanya bila diperjuangkan, ia memberi hasil luarbiasa. Orang Melayu boleh hidup di Mekah atas nama Abuya dan Sayyidi, sedangkan Melayu-Melayu lain yang ada di Mekah ini, tidaklah mencapai sebesar apa yang dicapai oleh GISB!
Maka ramailah orang bertanya saya dengan kuasa apakah Umu Jah boleh membangunkan empayar Islam di Saudi ini? Cobalah tanyakan hal ini kepada Datuk Mufti Negeri 9 dan Puan Erma Fatimah yang telah berziarah ke Pusat-pusat GISB di Mekah dan Madinah. Sesuatu ajaran itu, hendak dinilai sesat tidak nya bukan kah dilihat pada apa yang dihasilkan? Pokok kalau nak di pastikan ia baka bagus ke tidak bukankah dinilai pada buahnya? Orang kalau nak tahu bagus ke tidak, lihat lah hasil kerjanya. Apa, saudara tergamak menyesatkan satu ajaran yang hasilnya ialah bangunnya ekonomi empayar Islam di Mekah Madinah?
Untuk umat islam dapat jadikan ilmu Islam sebagai realiti kehidupan yakni untuk teori-teori itu semua dapat dipraktikkan. Abuya dan Sayyidi lah 2 tokoh yang mengetahui bagaimanakah caranya? Bahkan bagaimanakah poligami itu dapat dijayakan, kuncinya pun ada pada Abuya dan Sayyidi. Saudara perasan tak, bahawa Abuya hancurkan Arqam untuk memulakan Islam praktikal. Yakni ilmu Islam dirubah menjadi cara hidup Islam. Sg. Penchala ditutup untuk dibuka BCH? Supaya umat Islam tahu bahawa pada Ustaz Asaari itu ada rahsia bagaimana merialisasikan Islam teori. Tentunya mereka dapatkan dari Islam sebab itulah segala-gala cara hidup yang dicetuskan Arqam itu kami berani namakannya atas nama Islam! Tidak pun orang ketawakan. Orang berhasad dengki adalah!
Berfikir semulalah saudara Zawawi Aman. Anda tidak merasa rugikah menentang kekayaan Islam yang Allah telah rezekikan kepada saudara-saudara seIslam? Sesat yang anda katakan itukan Allah sudah jawab dengan menjadikan GISB satu-satunya jemaah Islam yang paling berjaya ekonominya diperingkat Nasional dan International? Ok kalau Arqam dan Umu Jah hancur hasil perjuangan saudara ini, apa untungnya? Sedangkan kalau saudara bijak, untuk hancurkan kami cuba ambil pendekatan ber baik-baik! Sebab semua cara-cara yang diambil sebelum ini yakni cara musuh gunakan, gagal untuk hancurkan Arqam. Cubalah dengan cara berbaik-baik, kemudian hancurkan dan anda akan beruntung kerana GISB akan menjadi milik anda!
Zawawi Aman di TV Al-hijrah |
Kalau anda hancurkan Umu Jah dan GISB apa alternatif untuk umat Islam mendapatkan semula kegiatan-kegiatan ekonomi Islam yang GISB sumbangkan? Kalau anda boleh buat gantinya, ok lah! Sedangkan anda sendiri dengan kefahaman yang tidak sesat itu, cuma boleh cakap saja, belum membuktikan hasil apa-apa pun! Tahukah anda bagaimana caranya agar usaha-usaha anda akan boleh menghasilkan Islam realiti? Kalau gagal nanti saudara akan jadi lebih kecewa! Sedangkan kalaulah anda lupakan saja kami ini, (biarkan GISB masuk Neraka kerana degil dengan kesesatannya!) Mungkin anda akan lebih tenang.
Sedangkan kerajaan Malaysia pun pernah menentang, Allah gagalkan mereka, inikan saudara sebatang kara? Bijakkah? Sedangkan waktu ini GISB sudah di terima baik oleh Negara Malaysia. Jabatan-jabatan Agama pun ada yang dah sudi bekerjasama.
Perihal jenayah seks dalam GISB, saudara Zawawi Aman barangkali kerana marahkan isteri yang lari sampai gelap mata : tidak nampak bahawa pasangan-pasangan suami isteri GISB lah paling bahagia. Sekalipun poligami. Sebab GISB selain menyelesaikan masaalah Iman, Islam, Ibadah dan Akhlak, makan minum dan kesihatan dan kebajikan ahli-ahlinya juga mengambil tanggungjawab masaalah-masaalah seks mereka! Dunia dan Akhirat di uruskan! Mana ada kes jenayah dalam jemaah GISB? Cerita seks kan menceritakan syurga dunia! Mengapa saudara boleh tersalah tafsir sampai begitu sekali? Kalau tak setuju dengan cara kami bagilah alternatif. Jangan-jangan Brousur Seks GISB tu ramai yang dapat faedah! Tolong saudara bicarakan tentang seks menurut Islam sebagai ilmu panduan untuk umat Islam melakukannya seperti yang Allah dan Rasul kehendaki!
# Kenyataan Syamsiah : “Saya sekeras-kerasnya menafikan dakwaan suami saya mengatakan dia dapat buku Seks Suci Islam (SSI) daripada saya. Ini jelas tak benar sama sekali sebab saya sendiri tak pernah memiliki buku tersebut. Saya sungguh tak sangka suami saya sanggup berbohong pada pihak media dan masyarakat umum. Suami yang saya harapkan dapat membela saya dan anak-anak sanggup membuat tuduhan sebegitu. Saya merayu pada suami saya agar berfikiran waraslah janganlah hal-hal keluarga dibesar-besarkan pada pihak media. Sedangkan ia boleh diselesaikan secara baik. Bila dia bertindak sedemikian membuatkan saya jadi ragu betul ke suami saya sayang kat kami sekeluarga. Amat memalukan kerana hal peribadi satu dunia tahu. Saya rasa sangat sedih bila melihat gambar 3 anak lelaki saya yang sekarang dalam jagaan suami saya (yang dia rampas dari saya), kopiah pun tak pakai, apa lagi solat. Sedangkan sewaktu anak-anak itu berada dalam jemaah, tahajjud pun tak pernah tinggal. Lihat 5 org anak saya yang berada dalam jemaah, semuanya terbela. Dapat belajar di Jordan, yang suatu ketika dulu pernah menyuarakan hasrat mereka untuk belajar diluar negara tapi suami saya tak bagi dengan alasan takde duit. Sepatutnya sebagai suami syukurlah sebab jemaah sanggup ambil tangungjawab kita tanpa bayaran satu sen pun. Anak-anak pun tahu menilai siapa yang mereka nak ikut. Ayah @ ibu ???.”
Terus terang saudara, bahawa perbezaan diantara kita sebenarnya ialah : saudara perjuangkan ilmu Islam sedangkan kami memperjuangkan cara hidup Islam yang praktikal Yakni bagaimana ilmu Islam boleh menjadi satu sistem hidup! Anda lihat kebudayaan kami yang menghiburkan orang dengan Allah dan Rasul. Nasyid mengelirukan kata saudara! Mana nasyid yang tak mengelirukan? Sedangkan orang suka nasyid. Kalau anda tidak mampu untuk cetuskan, malulah kepada Allah untuk persoalkan ajaran kami. Salah-salahpun ada hasil yang boleh di manfaatkan. Selagi anda belum mampu untuk buktikan ajaran saudara lebih baik, berani saya kata kan bahawa senjata saudara akan memakan diri saudara sendiri. Sebab Allah sangat marah dengan orang yang bercakap tapi tidak berbuat!
Lihat projek-projek GISB untuk menjawab persoalan-persoalan anda tentang ajaran kami. Lihat sembahyang jemaah kami untuk menjawab sesat tidaknya kami! Lihat remaja-remaja kami yang ikut memperjuangkan Islam untuk tahu apa baik tak baiknya kami. Lihat orang-orang kami yang berniaga ikan, ayam, roti, butik dan lain-lain apa mereka buat bila tiba waktu sembahyang. Ya, mereka sembahyang awal waktu dan jemaah. Itulah yang di ajarkan Abuya, Sayyidi kepada kami. Adakah semua umat Islam di Malaysia yang berniaga dan juga sembahyang 5 waktu sehari semalam? Ajaran apa yang membuatkan mereka itu begitu?
Masyarakat sangat Nampak keujudan GISB, projek-projeknya dan orang-orang yang menjaga projek. Mereka melihat sesuatu yang menyenangkan. Mungkin sukar untuk mereka percaya bahawa orang-orang GISB ini sesat. Sebab itu projek-projek kami terus berjalan hasil sokongan masyarakat.
Sebaiknya saudara Zawawi Aman dan sesiapa yang ingin mempersoalkan GISB, datanglah untuk berbincang terlebih dahulu. Tengok dari dekat! Kalau adalah orang yang dari jauh-jauh saja tembak, takut tidak tepat, tidak kena! Anda akan gagal. Apa yang menghalang anda untuk bertemu kami? Moga-moga kita akan dapat berbual panjang tentang macam-macam lagi yang anda ragukan tentang kami ini! Ya, tentang Islam bawaan Abuya dan Sayyidi, (kini dipertahankan oleh Umu Jah dan GISB) yang telah menghasilkan empayar ekonomi Islam GISB di ¾ dunia. Yakni di Benua Eropah, Timur Tengah, Asia Tenggara, Khurasan dan China! Kalau bukan oleh kuasa Allah dan Rasul di belakang semua ini, mustahil syarikat kecil ini boleh mencipta hasil yang bertaraf Negara! Dan kalau bukan oleh kekuatan yang Allah dan Rasul berikan pada saya, mustahil saya mampu untuk menghasilkan surat ini.
Walaupun surat ini saya tujukan kepada saudara, tapi yang ikut menilainya ialah Allah dan Rasul dan orang mukmin. Apapun yang saudara akan jawab, tapi saya lebih menunggu jawapan dari Tuhan saya, Nabi dan orang-orang mukmin.
Sekian, ampun maaf dan terima kasih
Qutaibah dua dari kiri anak Zawawi Aman yg kini di Mekkah |
No comments:
Post a Comment