Nabi itulah, dia yang terlalu menyayangi, Dan menginginkan keselamatan untuk ku,Dan membimbangkan kecelakaan menimpaku, Sanggup menangis 1000 tahun untuk nasib baiknya diriku.-------Untuk Tempahan Membuat Blog,Hubungi 011-2881 1726 atau Pin BB:7F2ED589

Sunday, June 12, 2011

'Pantau ajaran sesat di internet'

Isnin , 13 Jun 2011
JAKIM tubuh pasukan kesan penyebaran aktiviti tidak betul guna media baru ‘Pantau ajaran sesat di internet’

PUTRAJAYA: Bahagian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini menubuhkan Bahagian Perancangan dan Penyelidikan bagi mengesan kegiatan individu atau kumpulan tertentu yang dikatakan menggunakan blog, laman sosial Facebook dan Twitter untuk menyebarkan ajaran sesat, fahaman ekstremis dan pluralisme di kalangan umat Islam di negara ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Othman Mustapha, berkata langkah ini perlu kerana JAKIM tidak menolak kemungkinan ada kumpulan ajaran sesat yang cuba menggunakan kemudahan media baru seperti blog, Facebook dan Twitter bagi merekrut ahli baru serta mengelak kegiatan haram mereka dihidu pihak berkuasa.
“Tidak dinafikan kumpulan ajaran sesat pada hari ini sentiasa memanipulasi segala kekuatan dan kemudahan teknologi untuk mengembangkan fahaman menyeleweng dan mencari ahli baru.

“Ini kerana penggunaan teknologi maklumat (IT) termasuk blog, Facebook dan Twitter bukan saja menyebabkan pihak berkuasa agama negeri dan JAKIM sukar mengesan kedudukan sebenar markas mereka, malah membolehkan kumpulan ajaran sesat terbabit merekrut lebih ramai ahli dalam masa singkat,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan 10 kumpulan ajaran sesat yang pernah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri dipercayai masih bergiat aktif di seluruh negara termasuk merekrut pengikut baru.

Antara kumpulan ajaran sesat terbabit termasuk Syiah yang ekstrem; bekas kumpulan al-Arqam yang dikaitkan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) atau Global Ikhwan Sdn Bhd; Islam Jemaah; Ajaran Azhar Wahab (Pengasas al-Mansor Holding Sdn Bhd), Tarikat Naqsyabandiah Khalidiah; Pemuda Kahfi, Tarikat Naqsyabandiah Khalidiah Sheikh Nazim; Qadiani/Ahmadiah; Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan ajaran Aurad Islamiah.
Mereka adalah sebahagian daripada 95 kumpulan yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam dan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sama ada oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri di seluruh negara dalam tempoh 20 tahun lalu. Sebahagian besar kumpulan lain sudah ‘mati’ dan tidak ada pengikut lagi.

Pada masa sama, beliau berkata JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri juga sedang memantau cubaan pihak tertentu menyebarkan pelbagai fahaman baru seperti pluralisme dan fahaman berbentuk ekstremis dengan memperalatkan golongan pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi di negara ini.

Bagaimanapun, Othman berkata JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri menghadapi pelbagai masalah dalam menangani ajaran sesat berikutan ketiadaan penyeragaman undang-undang Syariah pada peringkat negeri dan salah faham umat Islam terhadap isu akidah termasuk ilmu tarikat dan tasawuf.

Berikutan itu, beliau berkata JAKIM sentiasa mengambil langkah proaktif termasuk meminta Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri melakukan kajian dan menyelaras keputusan berhubungan fatwa pengharaman sesuatu kumpulan ajaran sesat terbabit.

“Pada masa sama, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri juga mengadakan ceramah dan kaunseling bagi meningkat kefahaman umat Islam mengenai pelbagai kumpulan ajaran sesat yang menyeleweng daripada akidah Islam dan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah,” katanya.

"Kita juga menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Nasional (JAPAS) dan Jawatankuasa Penyelarasan Penyelidikan Islam Peringkat Kebangsaan (JAPPIS) bagi meningkatkan pemantauan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kegiatan penyebaran ajaran sesat di seluruh negara," katanya.      


Sumber dari Berita Harian

No comments:

Post a Comment