Suatu petang, adik yang baru berusia enam tahun bertanya kepada ibunya yang sedang menjahit, “Ibu kenapa kita tidak boleh melihat Tuhan?” Si ibu yang mendengar soalan adik berfikir sejenak lalu melemparkan senyuman ke arah anaknya itu.
"Adik, menusia memang tidak dapat melihat Tuhan. Kita tidak dapat melihat Allah s.w.t. dengan mata kita walaupun Allah s.w.t. wujud. Allah juga tidak dapat dibayangkan dengan akal fikiran kita. Tetapi Allah tahu apa yang kita lihat menggunakan mata kita dan apa yang kita bayangkan. Allah tahu semua perkara yang tersembuyi dan Allah juga tahu semua peristiwa dan keadaan."
Bukan semua perkara dapat dilihat dengan mata.
Adik tahu tak, dulu ada satu cerita mengenai seorang ustaz dan seorang lagi orang yang tak percaya Tuhan. Lelaki itu datang kepada ustaz dan bertanya, ”Pernahkah ustaz melihat Tuhan?”
Ustaz itu pun menjawab, ”Maha Suci Tuhanku, sesungguhnya Dia tidak dapat dilihat dengan penglihatan.”
Lelaki itu bertanya lagi, ”Adakah ustaz pernah menyentuh, mencium atau mendengar suara Tuhan?”
Ustaz dengan tenang menjawab, ”Maha Suci Tuhanku, Dia tidak sama dengan sesuatu apa pun. Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Orang lelaki itu terus mengejek lalu berkata, ”Kalau ustaz tidak pernah melihat, tidak pernah mendengar suara-Nya dan tidak pernah menyentuh-Nya, lalu dari mana ustaz dapat buktikan yang tuhan itu ada?”
Dengan tenang ustaz itu bertanya kembali kepada lelaki itu, ”Wahai saudara, pernahkah kau melihat akal fikiran engkau?”
”Tidak pernah,” jawab lelaki itu.
”Pernahkah engkau mendengar suara hati engkau?” ustaz itu bertanya lagi.
”Tidak pernah,” jawab lelaki itu.
”Pernahkah engkau menyentuh akal engkau?” sambung ustaz itu.
”Tidak,” lelaki itu menjawab sambil menggelengkan kepala.
Akhir sekali, sampai juga ustaz kepada soalan sebenar yang hendak ditanya. ”Adakah engkau orang yang sihat akal ataupun kurang waras?”
”Tentulah saya orang yang waras!” jawab lelaki itu.
“Adakah engkau mempunyai akal?” tanya ustaz itu lagi.
“Tentulah ada!” jawab lelaki itu.
Ustaz itu menegaskan kembali, “Apatah lagi Allah, Tuhan sekalian alam. Dia tetap ada walaupun pancaindera kita tidak mampu menjangkaunya.”
Lelaki itu diam dan berfikir. Dia tidak ada lagi soalan untuk ditanya kerana dia sudah dapat jawapannya. Perkara yang tidak dapat dilihat tidak semestinya tidak ada. Banyak tanda menunjukkan manusia ada akal dan akal masing-masing mempunyai kemampuan yang berbeza. Begitu jugalah dengan Allah, banyak tanda menunjukkan Allah itu ada, walaupun kita tidak dapat melihatnya.
Kisah Nabi Musa dan Kaumnya
Al-Quran menceritakan kepada kita, Nabi Musa pernah berdoa hendak melihat Allah. Kisah ini dinyatakan dalam al-Quran, surah Taha ayat 83 hingga 84 dan surah al-A’raf, ayat 143 hingga 145.
Pada suatu hari, Nabi Musa memilih 50 orang dikalangan kaumnya untuk pergi ke Bukit Tursina. Nabi Musa pergi ke sana kerana hendak bermunajat kepada Allah serta menerima kitab Taurat daripada Allah. Nabi Musa memberi amanah kepada Nabi Harun supaya memimpin baki kaumnya semasa beliau ke Bukit Tursina.
Nabi Musa diberi kelebihan istimewa berbanding nabi-nabi lain, iaitu dapat bercakap terus dengan Allah tanpa perantaraan. Beliau sampai dahulu seorang diri di Bukit Tursina. Allah bertanya kepadanya, ”Mengapa kamu datang seorang diri, lebih dahulu daripada kaummu, wahai Musa?”
Nabi Musa menjawab, ”Mereka sedang menyusul di belakangku. Aku datang cepat-cepat kepadamu, wahai Tuhanku, demi mendapat redhamu.”
Nabi Musa merayu kepada Allah supaya dia dapat melihat Allah. Katanya, ”Wahai Tuhanku, perlihatkan dirimu kepadaku supaya aku dapat melihatmu.”
Allah berkata, ”Kamu tidak akan sanggup melihatku, tetapi lihatlah gunung itu! Sekiranya ia masih tetap berada di tempatnya, kamu akan dapat melihatnya.”
Nabi Musa memandang ke arah gunung itu. Tiba-tiba gunung itu hancur lebur dalam sekelip mata. Nabi Musa yang menyaksikan kejadian itu jatuh pengsan.
Apabila Nabi Musa mula sedar kembali, dia memohon ampun kepada Allah. Nabi Musa berdoa, ”Maha Suci Engkau wahai Tuhan, aku bertaubat kepada-Mu dan akulah orang pertama yang beriman kepada-Mu.”
Selepas itu Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa. Nabi Musa terus menjalankan tugas iaitu mengajak kaumnya menyembah Allah yang satu. Akan tetapi, ada juga dikalangan kaumnya yang beriman dan ramai juga yang tidak. Malah, ada yang meminta supaya Nabi Musa memperlihatkan Allah kepada mereka. Mereka tidak mahu percaya bahawa Allah adalah Tuhan mereka selagi mereka tidak dapat melihatnya dengan mata mereka sendiri. Mereka berkata, ”Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepada kamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang.” Allah marah kepada mereka. Sebaik sahaja mereka mengucapkan kata-kata itu, mereka terus disambar petir lalu mati. Orang ramai yang tidak mengucapkan kata-kata itu terselamat. Mereka tergamam melihat kejadian itu.
Manusia tidak dapat melihat Allah
Firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 103 yang bermaksud, ”Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dialah yang Maha Halus (melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”
Dalam ayat di atas, Allah menerangkan kepada kita bahawa Dia tidak dapat dilihat oleh mata kita. Allah juga tidak dapat dibayangkan dengan minda. Sebaliknya, Allah tahu mengenai apa yang dilihat oleh mata dan apa yang dibayangkan oleh minda kita. Allah tahu semua perkara yang halus dan tersembunyi. Allah juga tahu semua peristiwa dan keadaan.
Kepada semua hamba2 Allah, bila ada orang mendakwa yang dia dapat melihat Tuhan di dunia ini ataupun menggambarkan Tuhan itu seperti sesuatu, itu bererti dakwaan mereka salah. Dakwaan mereka bertentangan dengan apa yang Allah nyatakan. Allah juga ada menyatakan yang Dia tidak boleh disamakan dengan apa sekalipun. Bagaimanapun dalam surah al-Qiyamah ayat 22 dan 23, Allah ada menyatakan ”Pada hari akhirat itu, maka orang-orang yang beriman berseri-seri. Melihat kepada Tuhannya.”
Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah menjelaskan tentang hal ini. Seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Jarir bin Abdullah melaporkan. Katanya, ”Pada satu malam kami berada bersama Nabi Muhammad. Baginda memandang ke arah bulan purnama dan berkata, ”Saudara-saudari akan meliat Tuhan saudara-saudara dengan terang, sama seperti saudara lihat bulan itu. Saudara-saudara tidak akan keliru dan tidak perlu bersesak-sesak semasa melihatnya.” Hadis riwayat Muslim dan Bukhari.
No comments:
Post a Comment