Nabi itulah, dia yang terlalu menyayangi, Dan menginginkan keselamatan untuk ku,Dan membimbangkan kecelakaan menimpaku, Sanggup menangis 1000 tahun untuk nasib baiknya diriku.-------Untuk Tempahan Membuat Blog,Hubungi 011-2881 1726 atau Pin BB:7F2ED589

Friday, July 29, 2011

Maahad Hishamuddin Kelang (Tahun 1954 hingga 1957)

 

Umur tujuh belas tahun, Abuya memasuki Sekolah Rendah (Ibtidaie) Maahad Hishamuddin bertempat di Klang, Selangor. Sepatutnya tiga tahun, tetapi Abuya lompat kelas. Jadi selepas sekolah rendah dua tahun, Abuya terus naik dua sanawi, lompat kelas lagi. Pengajiannya tamat di tahun 1957 waktu tiga sanawi. Iaitu sesudah 4 tahun di Maahad, pada umur 20 tahun.

Oleh kerana bapanya bekerja di Pelabuhan Klang, maka Abuya tinggal bersama bapa dan ibu tirinya di berek kastam, Klang. Jarak dari Maahad Hishamuddin ke rumahnya ialah sejauh tujuh batu.

Guru-guru yang terlibat mengajar Abuya selama bersekolah di Maahad itu ialah:

1 Syeikh Khalil, seorang yang berkelulusan dari Pesantren (pondok) Tebu Ereng, Jawa Timur. Pakar nahu dan fekah. Empat tahun beliau mengajar Abuya.
2 Ustaz Hakim, kelulusan pengajian di Mekah. Abang kepada Dato’ Hassan Azahari. Pakar bahasa Arab dan Sastera Arab.
3 Ustaz Dahlan, kelulusan Maahad Hishamuddin.
4 Ustaz Mokhtar bin Radzi, kelulusan Pondok Batu 20, Bagan Datuk.
5 Ustaz Haji Idris, seorang Sunni yang pernah mengaji di Mekah 15 tahun. Beliau berasal dari Kuala Pilah. Waktu itu Mekah masih berfahaman Sunni, manakala fahaman Wahabi baru mula hendak masuk.
6 Ustaz Rashid kelulusan dari Madrasah Junaid, Singapura.
7 Ustaz Hassan Azahari selaku guru Quran (sekarang Dato’ Hassan Azahari).
8 Tuan Haji Salim Segambut, guru tafsir Quran (juga bapa mentua bekas isteri yang pertama).
9 Syeikh Mahmud Bukhari selaku Mudir Maahad Hishamuddin. Ibu bapanya orang Bukhara, Uzbekistan (Khurasan). Tapi Syeikh ini dilahirkan di Mekah dan mengaji di Mekah. Beliau dibawa ke Malaysia oleh orang Sultan Selangor waktu itu, Sultan Hishamuddin. Beliau menghafal sepuluh ribu Hadis dengan rawi dan hafal empat puluh matan ilmu. Abuya berguru dengannya selama empat tahun.
10 Mengaji malam dengan Syeikh Muhammad Abdullah bin Muhammad Khairullah As Suhaimi tentang ilmu tarekat dan kebangkitan Islam. Bertempat di Jemaah Muhammadiah, Jalan Sungai Udang, Klang, Selangor.

Selama persekolahan biasa, Abuya sangat memburu ilmu, tidak kira petang atau malam. Selama dua tahun dia mengambil tuisyen tengah malam dengan Ustaz Hakim yang ketika itu bertugas sebagai nazir sekolah agama di Kajang. Dengan persetujuan tuan guru itu, Abuya bersama tiga orang lagi akan datang ke rumah beliau. Tuisyen bermula pukul dua belas malam hingga pukul 1.00 pagi.

Ustaz Hakim jadi nazir di Kajang, 70 batu dari Klang. Beliau balik pun sudah lewat. Jadi apabila pelajar meminta tuisyen, dia kata biar dia rehat dulu dan pelajar boleh picitpicit sementara dia tidur. Pukul 12.00 malam barulah dia bangun dan mengajar. Mereka belajar pelajaran nahu Arab dan saraf. Ia berlangsung selama dua tahun.

Kawan-kawan Abuya yang bertiga itu ialah Ustaz Taha (anak Ustaz Hakim sendiri), Abdul Karim (adik Dato’ Hassan Azahari) dan Ustaz Rifai Abdullah (abang kepada pemilik Syarikat Shapadu iaitu Haji Shaarani). Mereka empat serangkai ini terkenal sebagai pelajar cemerlang. Setiap kali peperiksaan, merekalah yang menguasai kecemerlangan pelajaran.

Di sebelah petang, untuk pelajaran tafsir Abuya ambil tuisyen dengan Syeikh Bukhari. Lagi sekali kita terkejut dengan adanya orang yang sanggup tuisyen tengah malam ini. Sejarah ini rasanya tidak berlaku kalau bukan rancangan Abuya. Kawan-kawannya yang tiga orang lagi dan Ustaz Hakim pun ikut sahaja!

Boleh dikatakan Abuya betul-betul lapar ilmu hingga dia sanggup ke hulu ke hilir untuk mendapatkannya. Dia sangat tahan dengan kesusahan atau risiko yang terpaksa diambil. Selalunya dia tidur di masjid kerana tidak mahu balik ke rumah. Tapi kadang-kadang dia balik ke Klang, 7 batu berbasikal di tengah malam. Besoknya selepas Subuh, dia kayuh basikal 7 batu lagi untuk ke sekolah. Selalunya dia tidak makan pun! Fizikalnya kurus kering sehingga kawan-kawan yang nakal memanggilnya bangau!

Dalam satu masa, dialah imam sembahyang, dialah pengurus rumah, dialah guru dan dialah pelajar yang gilagila menuntut ilmu. Perhubungannya dengan masyarakat sangat bagus, perjuangannya dan pengaruhnya begitu besar diterima orang. Tidak hairan dia menjadi orang pelik yang disegani guru dan kawan-kawan. Guru-guru beri perhatian istimewa padanya.

Walaupun persekolahannya tidak lama seperti orang lain, tapi kenyataannya Abuya menguasai ilmu jauh lebih banyak dari orang lain. Ilmunya pula berbuah-buah dan berkembangkembang banyaknya. Sebab katanya dia tidak pernah puas dengan ilmu-ilmu yang dipelajari lalu dia mengkaji dan berfikir lagi tentangnya. Lalu Allah menambah-nambah padanya hingga akhirnya dia menjadi sumber ilmu di zamannya.

Pelajaran formal untuk mengutip sebanyak-banyak ilmu di semua bidang pelajaran yang Abuya rindukan sejak kecil berlangsung dengan serius dan gigih sekali. Dengan bermodalkan sebuah basikal dan wang tiga ringgit untuk sebulan, Abuya meredah pagi, tengah hari dan malam sejauh tujuh batu pergi dan tujuh batu balik. Semua anak-anak kastam lain naik bas dan bersekolah di sekolah orang putih di Klang. Tapi anak kastam yang seorang ini membawa jiwa Islamnya dengan mengayuh basikal empat belas batu dan lebih setiap hari. Terdengarlah oleh Abuya ejekan-ejekan ‘tiada masa depan’ kerana bersekolah agama waktu itu. Walau apa pun rintangan, Abuya tetap cekal.

Diceritakan oleh Hashim Muhammad, adik Abuya, perihal mengapa bapanya tidak membenarkan Abuya naik bas ke sekolah tetapi hanya naik basikal, iaitu dengan tujuan supaya Abuya tidak bergaul dengan perempuan-perempuan dalam bas. Abuya diberi hanya RM3 adalah dengan tujuan supaya Abuya tidak banyak makan makanan di luar rumah yang dikhuatiri syubhat.

Bangun sebelum Subuh, dia terus masak air kemudian ke surau kastam untuk azan. Selesai sembahyang Subuh berjemaah, dia bergegas pulang ke rumah untuk bersiap ke sekolah. Sempat buatkan kopi untuk ayah, mak tiri dan adikadik yang masih kecil.

Di luar, Abuya akan sarapan teh kole dengan kawankawan. Murah. Abuyalah yang selalu belanja. Tapi bila duit bekal tiga ringgit habis maka dia tidak makanlah di luar atau waktu sekolah. Lamanya hendak tunggu habis bulan untuk mendapatkan tiga ringgit lagi. Sepatutnya sebulan dapat sepuluh ringgit baru cukup. Maknanya jaranglah Abuya makan dalam hari-hari persekolahannya sebab dia jarang balik tengah hari dan malam kerana belajar sampai malam seperti yang disebut tadi. Kadang-kadang katanya balik rumah pun nasi habis. Kalau mampu dia masaklah tapi kalau tidak, tidak makanlah. Namun Abuya tidak bising. Memang Abuya anak yang baik.

Mengapa Abuya tidak bising? Dia merasakan bapanya memang sengaja susah-susahkan begitu. Pernah sekali, itulah sekali dalam hidup dia minta kain samping melalui mak tirinya, bapanya jawab, “Tak payah ajar aku!” Pengalaman itu membuatkan Abuya taat sahaja dengan bapanya. Kehidupan dalam rumah sebenarnya agak selesa. Makan minum sepertilah pegawai kastam lain. Tapi di luar rumah, Abuya menjalani hidup susah! Oleh kerana rumah kastam hanya ada dua bilik, Abuya selalunya tidur di surau kastam. Adik-adiknya ramai dan masih kecil, maka rumah jadi sempit.

Pernah satu malam di bulan Ramadhan, Abuya hendak tidur di serambi surau, tiba-tiba dalam gelap malam itu dia nampak satu gelung cahaya turun dari atap ke lantai surau kemudian hilang. Kerana takut, Abuya berlari balik tidur di rumah. Bapanya kata itu tanda Lailatul Qadar.
Bapa Abuya memang tahu yang Abuya akan jadi pemimpin. Hal itu memang diyakininya sungguh. Melalui isteri dan anak-anaknya kita akan dengar macam-macam cerita Muhammad tentang anaknya (Abuya) akan jadi pemimpin. Cuma hal itu sangat dirahsiakan dari Abuya. Di antara katanya kepada anak-anaknya:
1 “Naemah, nanti jangan makan gaji, tapi kerja dengan abang (Abuya).”
2 “Kamu semua kalau nak selamat dunia Akhirat, ikut cakap abah. Nanti abah tak ada, ikut abang kamu (Abuya).”

Abuya sangat segan dengan bapanya. Dia tidak boleh ceramah depan bapanya, tapi pelik, si bapa pula sangat hormatkan anaknya itu (Abuya).

Bila Abuya tidak lagi tinggal serumah dengan bapanya, sesekali Abuya datang ziarah, dia sambut Abuya di pintu dan hantar pulang sampai Abuya hilang dari pandangannya. Untuk jamuan, dia suruh sembelih ayam kampung peliharaannya. Hidangan istimewa.

Tuhanlah yang mentakdirkan dia sangat hati-hati dalam mendidik Abuya. Dididik untuk mendapatkan Tuhan. Hal itu jugalah yang diterapkan oleh Abuya kepada anak-anak serta para pengikutnya. Lihatlah nukilan sajak Abuya di bawah ini:

Anak-anakku
Anak-anakku yang tercinta
Luka hati Abuya sudah baik semula
Kerana melihat anak-anakku
Sudah dipimpin oleh Tuhan
Ini petanda anak-anakku akan menjadi Ikhwan
Setidak-tidaknya menjadi Asoib masa depan
Perubahan-perubahan anak-anakku
pada hati Abuya menghiburkan
Abuya doakan anak-anakku
selamat masa depan
Iaitu hidup di Akhirat yang berpanjangan
Tidak mengapa Abuya tidak dapat memberi kasih sayang
Tetapi kasih sayang Tuhan itu lebih diutamakan
Abuya kamu lain daripada orang
Kalau lain orang
Menyayangi anak-anaknya memberi wang dan kesenangan
Tapi Abuya lain pula
Kerana Abuya belajar dengan datukmu dahulu
Iaitu ayah Abuya, dia tidak memanjakan Abuya
Dengan wang dan kesenangan
Tapi Abuya diberi oleh datukmu, Tuhan
Iaitu kesenangan di Akhirat yang berpanjangan
Didikan yang Abuya warisi dari datukmu
Itulah yang Abuya panjangkan kepadamu sekalian
Sebagai amal jariah datukmu di Akhirat
Sebagai sumbangan Abuya mengenangkan jasa datukmu
Bukan memberi Abuya wang dan kesenangan
Tapi diberi Abuya, Tuhan
Itulah yang Abuya pusakakan
kepada anak-anak Abuya yang tersayang
Padahal datukmu di waktu itu pegawai kastam
Di zaman itu hidup lumayan
Di waktu itu Abuya di bawah didikannya
tidak dimewah-mewahkan
Kalau sajak ini sampai kepada kamu sekaliannya Fatihahkan datukmu dan Abuya
Tanda sayang kepada Abuya dan datukmu yang tersayang
Kerana mengingati jasanya kepada Abuya
Yang dia memberi Abuya,
Tuhan Jadi di sini baru faham
Selama ini Abuya tidak tunjukkan
kasih sayang kepada kamu
Dengan tidak memberi kamu wang dan kesenangan
Tapi Abuya beri pada kamu yang lebih mahal lagi
Iaitu Tuhan yang berkekalan
Jadi di sinilah terjawab kepada kamu semuanya
Abuya sayang kepada kamu
Tidak seperti lain orang
Pada Abuya, Abuya tunjukkan kasih sayang kepada kamu
Dengan memberi Tuhan
bukan wang dan kesenangan
Dahulu kamu kecil-kecil lagi
Kamu tidak faham, tentulah kamu tidak senang
Tapi sekarang baru kamu faham
Kasih sayang Abuya kepada kamu semuanya
Memberi kamu Tuhan Dan mengusahakan kamu bahagia
di Akhirat yang berpanjangan
Kalau Abuya tunjukkan kasih sayang kepada kamu
Dengan memberi wang cukup
dan kesenangan yang berlebih-lebihan
Dunia tak sampai ke mana
Sedangkan Akhirat kelak kamu kecundang
Berdepan dengan penderitaan yang berpanjangan
Abuya dapat tahu bahawa kamu semuanya
tidak lalai sembahyang
Bahkan jika tahajud kamu tertinggal jiwa kamu tidak tenang
Ada di waktu siang kamu termenung
Kerana kesal tahajud tertinggal
Perasaan begitu adalah rahmat Tuhan
Kalau orang lain susahkan hati kerana wang hilang
Begitu juga Abuya dapat tahu
kamu adik-beradik bersatu padu dan berkasih sayang
Ibu kamu semuanya iaitu Ummi, Ummu dan Ummu Ain
Kamu tidak membeza-bezakan
Kalau kamu boleh kekalkan
Kamu di dalam keredhaan Tuhan
Keredhaan Tuhan itu mahal daripada intan berlian
Di sinilah Abuya faham
Bahawa perjuangan Abuya
akan bersambung panjang
Anak-anak Abuyalah yang akan menyambung
perjuangan Abuya di belakang
Kamu menyambung perjuangan Abuya
Itulah aset Abuya, hidup di Akhirat kelak
yang berpanjangan
Dan juga kekayaan kamu di Akhirat kelak
Destinasi yang kekal abadi
Yang tidak diukur oleh masa lagi
Abuya harap suasana ini hendaklah dikekalkan
Sampai mati menemui Tuhan
Biarlah kita susah sedikit di dunia
Tapi bahagia di Akhirat berpanjangan
Perlu diingatkan kepada anak-anak sekalian
Kalau di dunia dapat Tuhan
Hidup ikut disiplin Tuhan
Insya-Allah di dunia pun tidak kesusahan Ini terbukti
Kamu saksikan sendiri
Selama ini Abuya didik kamu takut dengan Tuhan
Dan mengutamakan Akhirat yang berpanjangan
Hidup kamu di dunia tidaklah susah macam orang
Yang kejar dunia, dunia tidak dapat
Tuhan sudah hilang, hal Akhirat diabaikan
Tetapi hidup kamu, kamu saksikan sendiri
Tidak pun susah makan dan berpakaian
Kamu pun tidak susah berkenderaan
Kamu masa kecil-kecil lagi
Sudah boleh pergi ke mana-mana
Bahkan keluar negeri
Padahal orang yang kejar dunia
Kalau masih budak-budak macam kamu
Pergi keluar negeri tak usah mimpi
Di sini menunjukan kalau kita hidup di dunia ini
Dapat Tuhan dan ikut disiplin Tuhan
Hidup di dunia pun tidak kesusahan
Orang yang susah itu kerana tidak dapat Tuhan
Disiplin Tuhan sudah ditinggalkan
Di dunia pun tidak juga senang
Di Akhirat kelak mendapat kesusahan yang berpanjangan
Jadi di dunia tidak senang
Di Akhirat kecundang

12.34 tengah hari, 17 Jun, 2006
Rumah tamu Rufaqa’ Nilai, Negeri Sembilan

Dalam menghadapi segala susah payah hidup, Abuya tidak pernah merungut. Di Pilin, Segambut dan Klang, semuanya yang menjadi tempat Abuya menumpang, Abuya dapat rasakan kasih sayang mereka. Kata Abuya, ditakdirkan Tuhan, ke mana sahaja dia berpindah, dari tangan ke tanganlah dia menumpang hidup, tapi semua bapa-bapa angkat itu sayang padanya dan ada pula hubungan dengan amalannya Aurad Muhammadiah.

Antara bapa angkatnya ialah:
1 Wak Karim di Sungai Nibong.
2 Kiyai Jalal di Sungai Nibong.
3 Pak Mat Kelang (cucu Sayidi Syeikh As Suhaimi) memperlihatkan sayangnya pada Abuya dengan menceritakan segala-gala tentang Sayidi Syeikh As Suhaimi dan ajarannya. Pada tiap-tiap malam Jumaat, bila Abuya berkunjung ke sana, dia sanggup layan Abuya sampai ke Subuh. Tidak hanya ajaran, malah segala barangan, pusaka Sayidi yang disimpankan kepadanya, semuanya ditunjukkan termasuk keris Zulfakar. Bahkan Pak Mat (Muhammad Abdullah ibnu Khairillahi Suhaimi) yang merupakan salah seorang khalifah Aurad Muhammadiah telah mengatakan hasrat untuk mengahwinkan Abuya dengan adiknya. Tapi takdir Tuhan, tiada jodoh.

Susah yang Abuya tanggung memang rancangan Tuhan. Abuya redha. Emak tiri dan adik-adik bukan saja sayang, tapi hormat padanya. Peribadi Abuya yang pendiam tapi gigih serta berhati surau itu bukan saja keluarga boleh sayang, bahkan masyarakat kastam terutama orang surau memang sangat suka dengan pemuda yang lain dari yang lain itu. Bukan sedikit pujian yang Abuya terima dari mereka. Menurut cerita-cerita adik-adik Abuya, orang-orang kastam selalu cakap pada bapa Abuya, “Anak engkau ni peliklah Mad. Kadang-kadang kami nampak ada cahaya di dahinya.”

Abuya memang pelik. Kalau dia pergi ke rumah Pak Mat Kelang pada malam Jumaat, dia sanggup tidak tidur sampai ke Subuh untuk mendengar cerita-cerita pelik dari cucu Sayidi itu, sedangkan kawan-kawan lain semuanya tidur.

Kalau tuisyen malam di rumah Ustaz Hakim, sebelum mengajar, selalu ustaz suruh picit badan atau pijak. Abuyalah yang mengambil tanggungjawab. Kawan-kawan lain kalau letih memicit, mereka berhenti tetapi Abuya tidak. Selagi gurunya tidak suruh berhenti, dia akan buat walaupun badan sudah bergoyang dan memegang dinding takut terjatuh kerana memijak belakang tok guru. Namun berhenti tidak sekali. Kualiti taat begini bukankah pelik?

Suatu hari ketika berbasikal dengan kawan-kawan, balik dari sekolah, mereka mengajak masuk panggung wayang. Sebenarnya Abuya tidak mahu. Tapi kawan-kawan terus meminta dan sudah beli tiket maka Abuya pun terpaksalah ikut. Tapi kata Abuya, seelok duduk di kerusi dalam panggung gelap itu, Abuya terasa sungguh mengantuk sehingga Abuya tertidur. Abuya terbangun dari tidurnya itu ketika panggung sudah terang. Dia tidak tahu apa-apa mengenai filem yang ditayangkan itu. Hal ini, sampai kawan-kawannya itu meninggal dunia, Abuya tidak bercerita, sebab dia hendak jaga hati mereka.

Cerita yang didengar lagi di Pilin, sebenarnya selain disusahkan, kerana bertanggungjawab membina peribadi pemimpin yang menjadi anaknya, bapa Abuya sangat membataskan pergaulan Abuya. Dunia Abuya diciptakan betul-betul environment yang menjurus kepada kelakuan seorang pemimpin. Kalau Abuya sedang berkhidmat dengan gurunya, membelakangkan arahan bapanya pun tidak mengapa. Abuya sangat hormatkan guru. Pernah sekali Abuya tidak dapat balik, bapanya tidak tahu ke mana dia pergi maka dia mencari Abuya semalaman.

Abuya digelar oleh isteri-isteri kastam di berek kastam itu dengan gelaran ‘anak dara Bedah’. Kenapa? Tinggal di rumah berderet, sebelah-menyebelah begitu, segala sesuatu bukanlah rahsia sangat. Oleh kerana Mak Bedah beranak kecil, tidak banyak yang boleh dibuat. Terutama kalau musim pantang bersalin. Maka Abuyalah yang buat semua kerja rumah, sekalipun mengurus makan minum dan pakaian bapanya. Bila hari cuti sekolah, pagi-pagi lagi Abuya pergi ke pasar. Balik dari pasar, dia cuci rumah, cuci longkang, cuci pakaian, memasak, jaga adik, angkat kain, lipat kain, seterika baju dan lain-lain. Pendek kata, apa anak dara sebelah rumah buat, itulah yang Abuya buat. Sebab itu dia digelar ‘anak dara Bedah’.

Ibu tirinya wanita lembut, pendiam, bukannya dia suruh Abuya buat semua itu. Tapi demikianlah peribadi Abuya. Manalah mak tiri tak sayang! Waktu Abuya sudah menjadi pemimpin Arqam, ibu tirinya itu bila bersalam akan cium tangan Abuya kerana katanya, “Ashaari guru mak.”

Sebenarnya ramailah orang mengidam untuk bermenantukan Abuya. Tapi di zaman itu anak-anak gadis pegawai kastam terlalu bergaul bebas. Boleh bawa boyfriend, berpegang-pegang tangan lagi datang ke rumah. Sedangkan Abuya sangatlah berbeza.

Watak beliau yang sangat pemalu terutama dengan perempuan telah membuatnya tidak bertegur sapa pun dengan anak-anak perempuan kastam tersebut. Sama-sama ke pasar, sama-sama buat kerja rumah tapi Abuya mengelak-ngelak penuh malu. Malu jugalah remaja-remaja perempuan itu padanya bahkan hormat dengan peribadi ulama yang terserlah sejak remaja itu.
Demikianlah secebis rentetan pendidikan tidak formal yang dialami Abuya di rumahnya.

Dia akhirnya terpilih untuk menjadi guru agama sambilan di sekolah rendah agama kastam selama dua tahun, yang tidak kecukupan guru itu. Dilantik oleh jemaah kastam tetapi bapanya telah menghalang kawan-kawannya dari membayar gaji kepada Abuya.

Di sini sekali lagi kita terkejut. Kenapa seorang bapa sanggup menghalang anaknya dibayar gaji? Memang pelik! Biasanya orang akan bangga anaknya mendapat duit, bukannya dihalang. Itu menunjukkan bapa Abuya sangat mampu untuk menyelamatkan anaknya dari cinta dunia. Dia punya kekuatan luar biasa untuk mampu berbuat begitu.

Pernah bapa Abuya dilantik jadi bendahari surau kastam selama setahun. Dalam mesyuarat agung, sewaktu ditanya penyata kewangan surau, dia kata tiada penyata sebab semua tanggungan menggunakan duit peribadinya. Duit surau diserahkan balik kepada AJK dalam bungkusan yang sama, tidak pernah dibukanya. Kuatnya jiwanya menghadapi dunia. Dia tidak mahu dunia menipu Abuya. Dia tidak mahu Abuya dibentuk oleh dunia. Tanpa dunia, Abuya akan bersandar sepenuhnya kepada Tuhan dalam hidupnya. Nanti dunia tidak akan dapat menggoda Abuya.

Pernah jiran dan kawan sebelah rumah di berek kastam membuat kenduri, ada muzik (tidak mengikut syariat Islam), bapa Abuya pulaukan kenduri itu. Anak dan isterinya sekali tidak dibenarkan pergi. Begitu kekuatannya menjaga syariat Allah. Dia sanggup membelakangkan kawan demi Tuhan. Itulah seorang lagi guru Abuya iaitu bapanya sendiri.

Tambah sibuklah Abuya kerana waktu pagi ke sekolah, petangnya mengajar. Guru besar kerajaan di sekolah rendah itu ialah Ustaz (Dato’) Hassan Azahari (ketika itu masih dua sanawi di Maahad). Sedangkan Abuya hanya tiga ibtidaie. Sama-sama kerja di sana. Jemaah kastam yakin dengan Abuya untuk mengajar agama kepada anak-anak mereka.

KENANGAN BERSAMA SYEIKH MAHMUD BUKHARI

Di kalangan seluruh guru-gurunya, Syeikh Mahmud Bukhari adalah guru yang paling melekat di hatinya. Sebab banyaknya kenangan-kenangan manis bersama beliau itu hingga membawa ke dalam mimpi. Dalam mimpi, Abuya melihat dirinya dibaiki oleh Syeikh Bukhari.

Pernah berlaku di Masjid Jamek tempat Syeikh Mahmud Bukhari mengajar orang dewasa, Abuya hadir untuk mendengar. Dia terus memanggil Abuya duduk di sebelahnya dan memintanya membaca Al Quran.

Syeikh dari Bukhara ini juga ada mengajar waktu petang di surau kastam tempat Abuya tinggal. Biasanya Abuya akan ikut mengaji tafsir dengannya. Beliau akan berpesan pada Abuya waktu sekolah pagi, supaya petang nanti Abuya bawa buku matan. Sebab dia datang awal, sementara menunggu orang ramai datang, dia akan ajar Abuya baca dan hafal matan ini. Bila selesai, dia sanggup sign di mana tempat yang sudah dibaca.

Bila waktu makan, dia sanggup suap ke mulut anak muridnya terutama Abuya. Dia suap limau dengan kulit-kulit sekali. Kata Abuya, kenalah makan. Sesekali Abuya dan kawankawan ziarah ke rumahnya. Dia akan menambah-nambah makanan murid-muridnya.
Pernah suatu hari Abuya sudah siapkan wang untuk hadiahkan kepada gurunya sebanyak lima ringgit (waktu itu lima ringgit sudah dikira banyak). Tapi sebelum balik, gurunya itu terlebih dahulu menghulurkan sepuluh ringgit kepadanya. Dia yang melatih Abuya agar jadi pemurah. Dia yang mendidik Abuya makan sedikit. Dia yang mendidik Abuya sembahyang, sedangkan dia bukan bertarekat.

Sungguh kehadiran Syeikh Bukhara dari Mekah ke Tanah Melayu, memberi erti yang besar kepada pembentukan peribadi Abuya. Hatta roh Abuya melihat fizikal Abuya direpair oleh Syeikh Mahmud Bukhari dalam mimpi itu. Tidak hairanlah kalau Abuya sayangkannya.

Abuya bergelanggang selama empat tahun di Maahad Hishamuddin, melibatkan pendidikan formal dan tidak formal. Sesungguhnya terlalu banyak yang Abuya dapat kuasai.

Orang tahu Abuya tidak sekolah tinggi, tapi setelah 2 bulan diuji kaji dan disoal siasat oleh top ten polis dan SB di Bukit Aman sewaktu reman ISA, ada desas-desus mereka mengulas tentang Abuya: “Ilmunya sangat tinggi, otaknya tajam dan Mahathir takut!”

1 comment:

  1. segeralah bertaubat
    jangan sampai terlambat
    kesesatan yang nyata
    ajaran iblis asyaari al khazzab dan setan betina khatijah laknatullah

    ReplyDelete