Perjuangan Bermula
Abuya dilahirkan Tuhan ke dunia adalah untuk jadi pejuang. Jiwanya, fikirannya dan seluruh fizikalnya memang dipersiapkan untuk berjuang. Perjuangan Islam adalah minatnya, kesukaannya, darah dagingnya, jiwa raganya, akal fikirannya dan hidup matinya. Pendeknya dia sanggup buat apa sahaja untuk menyampaikan cita-cita perjuangannya.
Waktu berumur 4 tahun, masa itu ibunya masih hidup, dia akan ikut ibunya setiap hari ke kebun menanam dan menjaga pokok ubi kayu. Berjalan kaki 4 batu pergi, 4 batu balik tanpa kasut, berlari terkedek-kedek di belakang ibunya seawal umur 4 tahun adalah satu latihan kepada seorang pejuang yang bukan calang-calang.
Kemudian di umur 5 tahun, dia kehilangan (kematian) ibu, sedangkan bapanya selalu tiada di rumah. Maka dia kena menjaga adik perempuan yang berumur 3 tahun. Dukung adik di belakang, berjalan di atas bendang dan selalu terjatuh ke dalam bendang adalah pengalaman biasanya. Seorang pejuang sangat patut menjalani hidup yang keras.
Umur 6-7 tahun sudah mula masak nasi dan goreng ikan untuk makanannya. Dengan dapur kayu yang ambil masa juga untuk dinyalakan, di rumah yang dindingnya atap adalah cara hidup yang dipaksakan padanya demi melahirkan peribadi pejuang yang sabar, gigih dan cerdik. Bila baju koyak (memang zaman Abuya masih kecil, pakaian susah didapati), Abuya akan jahit sendiri menggunakan benang tali nenas. Malam-malam dengan jamung, bawa botol bersama ibunya (waktu masih hidup), dia pergi tangkap belalang untuk goreng buat lauk. Makanan waktu kecil juga ialah biji getah (selama 2 tahun) dan daun kalilayau. Pernah terjadi ketika makan sayur kalilayau itu terdapat lintah di dalamnya. Demikianlah peritnya hari-hari, hidup yang dijadualkan untuk se-orang pejuang. Seribu satu jenis penderitaan bagaikan sebuah perjalanan biasa untuknya. Ringkasnya dapat digambarkan melalui sajaknya seperti berikut:
Biografi Abuya
Usiaku telah menjangkau enam puluh tahun
Sepanjang umurku aku telah menempuh hidup berliku-liku
Cabaran demi cabaran menggugat kehidupanku
Masam, manis, masin, pahit maung telah aku rasai
Aku telah menempuh berbagai-bagai zaman
Satu kali adalah zaman Jepun yang ganas dan kejam
Dua kali berlaku zaman British yang halus diplomasinya
Di zaman peralihan ialah komunis mengganas 10 tahun
Sudahlah miskin, hidup pula dalam ketakutan
Setiap hari ada orang yang dibunuhnya
Ada kenderaan yang dibakarnya
Balai-balai polis yang diserangnya
Masa Jepun, papa kedana merata-rata negara
Sangat mengancam kehidupan termasuk aku dan keluarga
Ubi keledek sebagai nasi, itulah “beras A1”
makananku yang biasa di waktu itu
Adakalanya sehari sekali makan nasi atau pisang
Itu pun beras yang berdebu dengan kapur dicampur ubi
Ubi pun payah dicari
Sagu rumbia, buah getah makanan harianku yang istimewa
Makan nasi hanya 6 bulan atau setahun sekali
Pucuk-pucuk kayu, daun kalilayau, cendawan kulat
setiap hari aku makan
setiap hari aku makan
Pernah satu hari waktu hendak memakan sayur kalilayau
Terjumpa seekor lintah di celah daun
Untungnya di waktu itu ikan-ikan darat senang didapati
Bahan-bahan hutan mudah dicari
Kerana di masa itu bahan-bahan semula jadi
Belum dimusnahkan oleh pembangunan dan kemajuan
Zaman ini juga harimau, babi, buaya, ular,
mengganas di mana-mana
mengganas di mana-mana
Kejamnya macamlah Jepun-Jepun
yang selalu menzalim orang terutama bangsa Cina
yang selalu menzalim orang terutama bangsa Cina
Hampir setiap hari lembu, kerbau, kambing dibahamnya
Zaman Jepun pakaian sangatlah susahnya
Sedikit-sedikit yang ada itu pun amat daifnya
Kain dan baju seribu tampungan
Bahkan setengah-setengah orang sudah ada
yang memakai daun-daun lebar yang keras
yang memakai daun-daun lebar yang keras
Atau kulit kayu yang diselimutkan di badan
Orang yang mati digulung sahaja dengan tikar mengkuang
kemudian dikuburkan
kemudian dikuburkan
Rumah-rumah tempat tinggal rata-rata macam rumah orang asli di hutan sekarang
Rumahku dan keluargaku semacam rumah mereka juga tidak ada bezanya
Penyakit mengganas tidak ada orang yang terkecuali
daripada serangannya
daripada serangannya
Ubat-ubatnya tiada, kecuali ubat tradisi sahaja
Zat makanan kurang sekali Apabila berkudis susah mahu sembuh
Sering sahaja berulat di dalamnya
Masjid surau terbiar kambinglah penghuninya
Di waktu itu orang beragama macam antah di dalam beras
Seluruh penduduk kampung kalau ada dua atau tiga orang
Yang sembahyang secara istiqamah sudah dibanggakan
Di zaman Jepun aku pernah kematian keluarga
Di dalam masa setahun empat orang
ibu, kakak, adik, pak cik
ibu, kakak, adik, pak cik
Perhubungan sangat sulit dan susah
Alat-alat perhubungan sangat payah
Menyeberang sungai melalui jambatan buluh
Atau setengah tempat menggunakan rakit buluh
Berjalan kaki menjadi basahan harian
Adakalanya berjalan kaki berbelas-belas batu jauhnya
Berbatu-batu naik kereta lembu sering berlaku
Naik kereta mungkin satu atau dua tahun sekali
biasanya lori
biasanya lori
Pernah berlaku dua kali di zaman
Jepun kapal terbang Jepun datang
Satu kampung penduduk kampung lari ketakutan termasuk aku yang masih kecil
Pernah aku melihat sebuah kapal terbang terbakar di udara
kemudian jatuh di tempat yang aku tidak tahu
kemudian jatuh di tempat yang aku tidak tahu
Beberapa lama kemudian aku tahu
Sebuah kapal terbang British jatuh ditembak oleh Jepun
jatuh di Kampung Sawah Raja, Rembau
jatuh di Kampung Sawah Raja, Rembau
Di zaman permulaan British
kehidupan agak lebih baik sedikit
kehidupan agak lebih baik sedikit
Namun kebatilan dan kemiskinan merata negara
Beras sudah ada, tepung seperti biasa
Tapi masih terbatas dan terhad
Pakaian sudah dijual merata-rata
Kebanyakannya kain belacu
Namun bermewah-mewah belum ada
Kalaupun ada golongan atasan sahaja
Itu pun hanya golongan terlalu minoriti
Pekerjaan sangat terbatas Tidak seperti hari ini
Lumrah pekerjaan orang Melayu
ialah mata-mata, askar, cikgu
ialah mata-mata, askar, cikgu
Kerani dan kastam satu dua termasuk ayahku
Perhubungan sudah ada tapi tidak selesa
Perjalanan satu jam di waktu ini
mungkin lima jam di waktu itu
mungkin lima jam di waktu itu
Di zaman itulah aku dan keluarga naik bas turun bas
Masanya agak lama juga
Pergi ke Kelantan di zaman itu dua hari
baru sampai ke Kota Baru
baru sampai ke Kota Baru
Rata-rata orang Melayu masih jahil
dan mundur di dalam pelajaran
dan mundur di dalam pelajaran
Buta huruf merata negara terutama penduduk desa
Yang berkelulusan universiti bilangan jari
Aku adalah termasuk orang yang terkorban
di dalam pelajaran di masa itu
di dalam pelajaran di masa itu
Kalau aku ringkaskan sejarah hidupku secara umum
Dari zaman British hingga ke hari ini lebih kurang begini:
Jalan kaki budayaku, kereta lembu kenderaan istimewaku
Makan ubi, buah getah, sagu rumbia mengganti nasi
makanan utamaku
makanan utamaku
Pakaianku bertampung seribu, akulah yang tampung sendiri
Di waktu masih kecil lagi
Ketika ibu dan bapa tiada di rumah
Aku masak sendiri
Baju aku basuh sendiri
Koyak aku jahit sendiri
Belum bersekolah aku sudah pandai memancing sendiri
Hasilnya dibawa pulang
Duduk di gerobok buruk
Di waktu itu reban ayam sekarang ini
adalah lebih cantik dari rumahku
adalah lebih cantik dari rumahku
Kenderaanku silih berganti
Tidak ada melangkau, ia berlaku secara bertahap-tahap
Dia berlaku secara meningkat dan berperingkat-peringkat
Dari berjalan kaki
Kemudian naik basikal
hinggalah dapat beberapa orang anak
hinggalah dapat beberapa orang anak
Berbasikal adakalanya berpuluh-puluh batu
Berkaki ayam biasa sahaja di zaman kanak-kanak
Enak saja tidak pula terasa kaki sakit
Selepas itu alhamdulillah lega sedikit
Boleh naik motosikal Honda 65, kemudian Honda 90
Setelah itu Allah memberi rezeki kereta Helman second hand
Kemudian Morris Minor second hand juga
Sesudah itu Holdan second hand pula
Kemudian sedikit demi sedikit bertambah canggih
Kereta Corolla permulaannya
Berpindah pula kereta Peugeot 404 kemudian 504
Setelah itu barulah Mercedes
Selepas itu kenderaanku adalah Pajero
Kemudian Mercedes MPV (multipurpose van)
Kenderaan awam kemuncaknya adalah kapal terbang
Jadi kehidupanku mengalami bermacam-macam
dan berbagai-bagai peringkat
dan berbagai-bagai peringkat
Dari papa kedana, fakir miskin, senang, kaya biasa
Yang belum lagi kaya luar biasa
Di aspek-aspek lain yang teringat elok juga diceritakan
Disengat ikan sembilang, baung perkara biasa
Diserang penyengat bermacam-macam jenisnya
sering sahaja
sering sahaja
Digigit lipan dua kali, satu kali disengat kala jengking
Keling keliak tidak terkira, mungkin puluhan kali Dikejar oleh anjing, diburu oleh kera jantan
hampir digigitnya
hampir digigitnya
Digigit lintah, pacat memang tidak boleh dielakkan
memang perkara biasa
memang perkara biasa
Jatuh dari rumah, jatuh dari pokok berlaku juga
Pernah di rumah orang kenduri, sedang makan
serambi rumahnya roboh
serambi rumahnya roboh
Kuah gulai menyimbahi pakaianku
Di waktu itu hari pertama aku mengajar
sebagai guru kerajaan
sebagai guru kerajaan
Jatuh dari basikal berdarah lutut tidak boleh dilupa
Kereta masuk gaung, patah kaki lebih-lebih
lagi tidak boleh lupakan
lagi tidak boleh lupakan
Di waktu kecil beberapa kali lemas di sungai,
mujur dapat diselamatkan atau terselamat
mujur dapat diselamatkan atau terselamat
Dicucuk paku dua kali pun merasa, parutnya masih ada
Kali kedua gelap mata beberapa ketika
Aku dipelihara dari satu tangan ke satu tangan
Dengan ibu dan ayah tidak sempat bermanja
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat jadi budaya
Berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat jadi budaya
Berpindah dari rumah setinggan ke rumah setinggan cara menyewa perkara biasa
Di umur persekolahan, mengangkat air cari kayu api, ambil pucuk paku menyapu laman, tukang masak kerja saya
Tinggal merata-rata tempat, di kampung dan di bandar
Di umur persekolahan, mengangkat air cari kayu api, ambil pucuk paku menyapu laman, tukang masak kerja saya
Tinggal merata-rata tempat, di kampung dan di bandar
Pernah tinggal di tengah hutan, di kebun getah, di sawah padi, di tepi laut, di tepi kubur
Di dalam pendidikan banyak sekolah tempat belajar
dan mengajar
dan mengajar
Berpindah dari sekolah ke sekolah Di dalam perjuangan, Allah takdirkan
di dalam persekolahan lagi
sudah ada cita-cita perjuangan
di dalam persekolahan lagi
sudah ada cita-cita perjuangan
Keluar sahaja dari sekolah, perjuangan pun bermula
Berbagai-bagai harakah Islamiah yang aku sertai PAS, Jamiatul Dakwatul Islamiah, Ikhwan dan ABIM
Namun hati tidak puas
Semuanya aku tinggalkan
Aku bangunkan jemaah sendiri, Darul Arqam namanya
Sempat aku pimpin 28 tahun lamanya
Di dalam jemaah sendiri, ke luar negeri perkara biasa
Bahkan tinggal di luar negara berturut-turut
7 tahun lamanya
7 tahun lamanya
Di dalam jemaah, berbagai-bagai aktiviti
dapat dibangunkan
dapat dibangunkan
Hal ini tidak payah diceritakan
Ramai orang yang faham dan tahu ceritanya
Ujian-ujian di dalam perjuangan Memang banyak yang dirasa
Tangga rumah dibuang, motosikal dibubuh garam
Beberapa kali hendak dipukul orang
Dipanggil ke Jabatan Agama dua kali disoal siasat
Kerana tidak senang dengan perjuangan yang aku lakukan
Pernah di waktu malam rumah dikepung polis
beberapa kali
beberapa kali
Namun tidak menangkapnya
Tohmah, fitnah perkara biasa
Inilah yang paling banyak dilemparkan kepadaku
Akhir sekali aku ditangkap, diambil di luar negara
secara ekstradisi
Direman dua bulan, kemudian diasingkan di Rawang
di bawah akta ISA
Sekarang sudah memakan masa enam tahun
Namun belum dibebaskan lagi
Kalau aku panjang umur
Entah apa lagilah peristiwa-peristiwa yang akan berlaku
pada diriku
Tuhan sajalah yang tahu
– 02 Jun 2000
Tohmah, fitnah perkara biasa
Inilah yang paling banyak dilemparkan kepadaku
Akhir sekali aku ditangkap, diambil di luar negara
secara ekstradisi
Direman dua bulan, kemudian diasingkan di Rawang
di bawah akta ISA
Sekarang sudah memakan masa enam tahun
Namun belum dibebaskan lagi
Kalau aku panjang umur
Entah apa lagilah peristiwa-peristiwa yang akan berlaku
pada diriku
Tuhan sajalah yang tahu
– 02 Jun 2000
Tidak hanya bertarung dengan hal-hal lahiriah, Abuya diberi pengalaman untuk menghadapi hal-hal ghaib. Di Pilin lagi, suatu hari menjelang Maghrib, ketika sedang melajukan basikal di celah-celah hutan berpokok besar di Pilin, tiba-tiba terdengar suara perempuan dari atas satu pokok besar, “Tunggu, tunggu.” Abuya dengan kawannya memberhentikan basikal dan dengan nyaring membacakan ayat Kursi lalu menghalakan ke atas pokok untuk ‘berperang’ dengan hantu itu.
Di Segambut pun dia pernah diganggu jin ketika bermain di satu parit air di lembah bukit. Meracau-racau dalam kelambu, tidak boleh tidur. Jenuhlah datuk dan nenek tiri menguruskannya. Betapa dewasa dan matangnya Abuya dengan semua ini, walhal umurnya masih kanak-kanak waktu itu.
Pemimpin besar itu dilahirkan dari dunia cabaran dan ujian yang besar-besar juga. Mampu melepasi semua itulah, bukti kelayakan untuk mengambil risiko kepimpinan. Kerja paling susah ialah memimpin. Seorang yang tidak tahan dengan ujian kecil pun, masakan mampu melepasi ujian kepimpinan maha besar itu.
Alkisah Abuya ini hidupnya betul-betul terbiar macam lalang. Membesar sendiri, terpulang apa nak jadi. Logiknya Abuya cukup hanyut atau cukup inferior (sakit jiwa). Mustahil dia boleh jadi orang yang sangat berguna! Bagai melihat sebuah filem, perihal seorang budak kampung yang malang, hidup dari tangan ke tangan, semua fikir sendiri, hidup urus sendiri, keputusan buat sendiri, sedangkan persekitaran sangat rosak, tentu kita akan simpulkan sebuah ‘ending’ yang malang untuk filem ini.
Namun tidak rupanya. Kesusahan telah bertukar menjadi suatu pendidikan yang gemilang, maha berguna, maha tinggi dan cukup hebat. Maka skrip itu mengambil suatu kesudahan yang amat luar biasa, bahawa Si Malang rupanya seorang penyelamat yang datang untuk menyelamatkan dunia.
Abuya kata, banyak tafsiran dan huraian ilmu agama yang dibuat oleh ulama-ulama zaman persekolahannya yang dia tidak boleh terima. Dia tidak setuju. Hatinya menolak walaupun beliau sayang dengan mereka, kerana ibadah mereka yang banyak dan akhlak yang baik, rajin mengajar, namun fikiran mereka tentang hidup menurut agama dan sikap hidup mereka dalam banyak hal, Abuya rasa bukan lagi agama suci. Sudah bercampur-campur akal dan nafsu.
Sebenarnya Abuya sendiri tidak faham mengapa dia jadi begitu. Dia sendiri tiada hujah untuk mempertahankan pendiriannya. Cuma hatinya yang kuat merasa begitu. Jadi dia diamkan saja hal itu, simpan dalam-dalam di hatinya yang tersembunyi, siapa pun tidak tahu.
Namun rasa tidak puas hati itu sesekali terbocor juga.
Pada tahun 1957, umurnya 20 tahun, waktu itu di sekolah menengah rendah (sanawi) tingkatan 3, Maahad Hishamuddin. Pagi dia bersekolah, petang jadi guru agama kerajaan di Sekolah Rendah Agama Sungai Udang. Katanya, tahun itu tiada peperiksaan akhir. Jadi semua pelajar tidaklah bersedia. Tapi tiba-tiba last minute diumumkan ada peperiksaan. Terkejutlah semua pelajar, maka Abuya bersama 3 orang guru lain merancang mogok. Mereka berjaya mempengaruhi 10 orang guru lain. Disokong juga oleh 3 kelas pelajar menengah. Kelas rendah tidaklah dilibatkan.
Maka pada hari peperiksaan, mereka ikut masuk dewan periksa. Tapi tidak menjawab soalan periksa, hanya menyerah kertas kosong!
Begitu sekali protes dirancang dan dijayakan. Konon waktu itu, itulah perjuangan. Memang satu rekod.
Akibat itulah semua guru-guru yang mogok itu dihantar mengajar, menjadi guru sekolah agama. Abuya dipindahkan ke Sungai Nibong (Tanjung Karang) pada tahun 1958, 70 batu jauhnya dari Klang. Menjadi guru di sana selama 2 tahun 5 bulan. Tamatlah persekolahan sedangkan beliau sangat ingin bersekolah lagi! Walhal sebenarnya bertarung dengan kehidupan realiti yang penuh cabaran dan halangan yang perlu dijawab dan ditangkis setiap masa, adalah persekolahan tidak formal yang lebih mengajar dibanding sekolah formal. Kenyataan ini akan disokong oleh fakta dan kejadian yang berlaku dalam hidup beliau, bertolak dari seawal umur 20 tahun itu. Barangkali cukuplah tempoh formal itu untuk seorang pejuang, sebab terlalu banyak yang perlu dipelajari dalam realiti kehidupan yang akan cukup berguna bagi dirinya buat menghadapi perjuangan yang mula besar!
Abuya mengumpul wang untuk sambung belajar ke Singapura. Tapi bapanya memutuskan agar dia berkahwin. Betapa anak yang taat ini menghadapi pertarungan itu? Maka berkahwinlah juga akhirnya pada tahun 1957, di umur 20 tahun dengan Ustazah Hasnah Salim yang merupakan kawan sepengajian, mendapat 12 orang anak yang taat semuanya kepada Abuya.
Kahwin adalah satu tanggungjawab yang maha mencabar, sebuah persekolahan yang amat berkesan dalam membentuk peribadi seorang yang akan jadi pejuang. Pelajar di kelas formal tidak akan mendapat ilmu sebesar yang didapatkan oleh student di institut rumah tangga yang penuh pergelutan, kesusahan, pertentangan, kasih sayang dan tanggungjawab! Dan Abuya berjaya melepasinya. Sijilnya ini bukan sebesar PhD, bahkan berpuluh-puluh PhD boleh didapatkan di dalamnya untuk kelayakan menjadi seorang pemimpin, karier yang diperuntukkan padanya.
Tahun 1961, Abuya dipindahkan mengajar di Sekolah Menengah Agama Sungai Leman sebagai penolong guru besar selama setahun, jarak 4 batu dari Sungai Nibong. Dipindahkan Abuya dari masa ke masa, tempat ke tempat sepanjang sejarah hidupnya adalah kerana kontroversi perjuangan yang dicetuskannya.
Di Tanjung Karang, di luar waktu mengajar, Abuya menceburkan dirinya secara langsung dalam PAS. Yakni setelah peluang belajar tertutup sudah, cita-citanya dihalakan kepada ‘pekerjaan’ idamannya sejak kecil iaitu memperjuangan Islam. Kerana PAS dilihat bernama Islam, teruslah Abuya terjun ke dalamnya seawal umur 20 tahun iaitu pada tahun 1958. Kata Abuya, hendak buat perjuangan sendiri masih terlalu awal, masih muda, pengalaman tidak cukup dan ilmu pun tidak banyak. Maka eloklah menumpang-numpang dahulu cari pengalaman.
Namun Abunya memang sudah ada ‘stand’ sendiri. Hala tujuannya sudah ditetapkan, dasarnya sudah digarap dan kaedah sudah disiapkan dalam mind setnya sejak di Pilin lagi. Seperti dipaku ketat dalam diri Abuya walaupun di dalam seribu satu perubahan jenis dunia baru yang dimasukinya. Hal ini sungguh luar biasa di mana Abuya tidak terpengaruh oleh corak-corak lain yang cuba dicorakkan kepadanya. Dia mampu kekal dengan semata-mata satu corak yang diciptakan untuknya sejak dari dalam kandungan, ketika bayinya dan zaman kanak-kanaknya.
Maka mengajarlah Abuya di Sungai Leman selama setahun, tapi lepas itu yakni tahun 1962 ketika berumur 24 tahun, Abuya dilantik menjadi guru besar di sekolah menengah agama itu kepada 300 pelajar dan 4 orang guru. Sedangkan dalam masa yang sama, beliau aktif membangunkan PAS di Tanjung Karang.
Jiwa juang yang terus membakar jiwa yang begitu terpimpin, telah mencetuskan mogok kedua dalam hidupnya. Berpunca dari tidak setuju dengan maksiat yang dibuat di sekolah rendah dalam upacara sukan mereka yang letaknya bersebelahan dengan sekolah Abuya. Abuya menganjurkan demonstrasi bersama lebih kurang 1000 orang kampung yang terdiri dari orang PAS dan UMNO. Mereka berjaya diajak keluar bersama mogok protes itu, memaksa dua trak polis FRU datang mengawal. Mogok berakhir dengan aman atas persetujuan pihak sekolah rendah untuk membatalkan perayaan berbudaya kuning di sekolah mereka. Sehingga hujung tahun 1966, waktu Abuya meninggalkan sekolah agama itu, tiada lagi maksiat-maksiat yang ditentangnya itu. Empat tahun maksiat itu dihentikan.
Di luar waktu tugas rasmi, ada tugas tidak rasmi lain lagi yang Abuya wajibkan pada dirinya. Iaitu membangunkan jemaah PAS dengan membangunkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti berikut:
– Sebuah sekolah swasta
– Satu mini market
– Satu kilang roti dengan 17 tempat edaran
– Sebuah sekolah dewasa
– Aktiviti ceramah, dakwah dan kempen yang dibuat hampir setiap malam
Semua kegiatan itu sesungguhnya bukanlah cara PAS. PAS cuma badan politik, jadi cara Abuya tidak direstui oleh PAS Pusat. Dia cuba corakkan ikut apa yang dia faham tentang perjuangan Islam sedari kecil. Bermula dari keluarga, bangunkan jemaah dengan cara hidup Islam, besarkan sistem Islam dalam masyarakat. Dan itulah yang akan ditawarkan kepada dunia. Siapa ajar beliau di umur itu dan siapa bekalkan kefahaman itu dalam diri beliau? Dan bila dia berbuat, ada pula pengikutnya. Itu semua adalah persoalan ajaib yang mesti didapatkan jawapannya.
– Satu mini market
– Satu kilang roti dengan 17 tempat edaran
– Sebuah sekolah dewasa
– Aktiviti ceramah, dakwah dan kempen yang dibuat hampir setiap malam
Semua kegiatan itu sesungguhnya bukanlah cara PAS. PAS cuma badan politik, jadi cara Abuya tidak direstui oleh PAS Pusat. Dia cuba corakkan ikut apa yang dia faham tentang perjuangan Islam sedari kecil. Bermula dari keluarga, bangunkan jemaah dengan cara hidup Islam, besarkan sistem Islam dalam masyarakat. Dan itulah yang akan ditawarkan kepada dunia. Siapa ajar beliau di umur itu dan siapa bekalkan kefahaman itu dalam diri beliau? Dan bila dia berbuat, ada pula pengikutnya. Itu semua adalah persoalan ajaib yang mesti didapatkan jawapannya.
Tercabar sungguh dengan kemeriahan PAS Tanjung Ka-rang, maka UMNO di situ telah membuat penentangan serius.
Melibatkan polis, jabatan agama dan macam-macam pergaduhan diundangkan pada Abuya. Antaranya, motosikal Abuya diletak garam dalam tempat minyaknya, pintu rumahnya diseal, ‘perang’ dalam masjid, polis kepung rumah atas tuduhan terlibat dengan konfrontasi Indonesia, ketika sedang mandi datang orang hendak pukul, motosikalnya dihalang di tengah malam waktu balik dakwah, hendak dipukul dan seribu satu macam lagi perang politik yang Abuya alami.
Waktu remajanya, hasil aktiviti beliau mencetuskan sebuah perjuangan politik berbau dakwah dan pembangunan kemasyarakatannya, dua kali beliau dipanggil ke pejabat agama Klang kerana tuduhan memecahbelahkan masyarakat. Namun semuanya Abuya dapat lepasi. Bahkan menerimanya sebagai asam garam perjuangan yang sedikit pun tidak menghalang beliau dari terus berjuang. Balik dari pejabat agama, perjuangan diteruskan lagi.
Pada tahun 1966, masih di Sungai Leman, Abuya ditimpa sakit yang teruk, rasa macam hendak mati. Empat bulan lamanya sakit malaria (kata orang). Setiap hari Abuya akan menggigil sakit bermula pukul 4.00 petang hinggalah membawa ke subuh. Lepas subuh, badannya kembali normal, boleh keluar rumah, tidak mengantuk dan tidak letih walhal semalaman tidak boleh tidur. Pukul 3.00 petang, Abuya cepat-cepat balik ke rumah untuk tunggu sakit. Selama 4 bulan dia menanggung ini semua. Puncanya Abuya tidak tahu dan dia tidak pergi ke hospital serta tidak ambil sebarang ubat hinggalah sembuh sendiri. Orang tidak percaya Abuya sakit.
Waktu mengalami sakit itulah Allah rezekikan mimpimimpi yang baik. Di antaranya dapat melihat Syeikh Mahmud Bukhari datang dan merepair (membentuk-bentuk) badannya supaya jadi lebih baik. Setiap kesempatan dapat tidur yang diperolehi di celah-celah sakit teruknya itu, rohnya melalui mimpi, mengalami perjalanan indah dari masjid ke masjid yang besar-besar dan cantik-cantik, bertemu ulama-ulama dan mengaji dengan mereka.
Tahun 1966, Abuya dilantik jadi Exco PAS Tanjung Karang. Begitu aktivitinya ‘menentang’ kerajaan maka Abuya dipindahkan lagi buat kali ketiga. Pindah ke Kuala Lumpur. Umur 26 tahun sudah sejauh ini perjalanan Abuya. Terlalu laju proses yang diambil untuk sampai ke destinasi yang amat jauh. Setiap hari bagaikan satu kursus diselesaikan di satu fakulti untuk esoknya tukar kursus di fakulti baru demi melengkapkan diri untuk menjadi orang besar zaman yang cita-citanya terlalulah besarnya!
Abuya akhirnya merubah diri menjadi pejuang tarekat, pejuang kasih sayang dan dakwah. Bukan lagi pejuang politik yang ganas. Tetapi sebelum berumur 30 tahun, Allah takdirkan dia sangat komited dengan PAS itu. Agaknya Allah mahu Abuya jadi sufi yang tidak jumud. Ertinya PAS betulbetul menghidupkan jiwa juang dan strategi-strategi namun semuanya dilunakkan oleh kefahaman sufinya. Kata Abuya, kalaulah dia tidak diubah oleh Allah, memang dia sangat garang. Pernah waktu dalam PAS, dalam bas dia sengaja cari tempat duduk yang membolehkan dia kempen. Kebetulan ada satu tempat kosong sebelah polis. Peluang keemasan itu Abuya gunakan untuk bersyarah kepada polis tersebut, menyindir-nyindirnya konon tidak Islam. Satu bas boleh dengar. Polis itu mencubit-cubit paha Abuya minta berhenti. Pemarah, panas baran dan berani melulu itulah akhlak buruk yang dididik dalam PAS.
Semangat perjuangan PAS yang tidak berdisiplin agama itu juga telah membentuk perangai buruk sekali, kata Abuya. Pernah di majlis ceramah, seorang pemidato PAS bercakap tanpa menghentam musuh! Abuya telah paksa dia naik bersyarah sekali lagi supaya kena dengan selera jahat PASnya itu. Hentam! Hal ini berlaku di Tanjung Karang.
Semua itu telah membuatkan Abuya akhirnya benci dirinya. Jiwanya Allah putarkan 360 darjah, dari begitu sekali semangat dan pengorbanan, dia akhirnya mengurung diri dan menangisi dosa-dosa. Dia rasa apa yang dibuatnya semua sia-sia belaka. Itu bukan cara Islam.
Orang yang tidak faham mengatakan dia kecewa dalam PAS. Tapi sebenarnya hatinya telah bertindak merubahnya. Memang kata Embah Mahmud itu, dia tahu Abuya pasti berubah dari perjuangan politik kepada tarekat sufi. Memang pun, sepanjang di dalam PAS dia tidak tinggalkan wirid Muhammadiah yang diamalkannya sejak berusia 13 tahun itu. Maka pada harinya seperti kata Sayidi Syeikh Suhaimi, Abuya pun ditukarlah oleh Allah. Sesuatu yang kalau tidak mengalami sendiri mungkin orang tidak percaya. Tapi realitinya Abuya memang berubah. Lepas dua tahun mengurung diri, membaiki diri, Abuya kembali ke gelanggang dengan memperjuangkan Islam seperti yang diidamkannya. Seolah olah perjuangannya baru bermula.
Kuala Lumpur - Darul Arqam
Bermulalah era Kuala Lumpur dari tahun 1966, di umur Abuya 26 tahun. Tempat di mana dikatakan kebangkitan Islam mula berangkat. Dua kerja besar yang Abuya ambil sebagai tanggungjawabnya di Kuala Lumpur ialah menjadi guru agama di sekolah rendah kerajaan dan menjadi aktivis PAS yang akan menggerakkan Kuala Lumpur.
Namun dari sudut kehidupan rumah tangga waktu itu, Abuya sangat miskin. Di Tanjung Karang pun dia cukup miskin. Selama enam tahun bertugas di Tanjung Karang, menjadi guru agama dan guru besar serta menjadi orang penting dalam masyarakat, Abuya dihadiahkan sebuah rumah oleh masyarakat kampung. Rumah itu berdekatan dengan sekolah dan letaknya dalam kawasan tanah perkuburan.
Rumah itu bertaraf rumah setinggan sahaja. Pintunya tidak ada kunci dan ada tiga anak tangga yang semuanya dibuat dari kayu. Air perigi, lampu minyak. Abuya tinggal bersama isteri dan dua anak lelakinya yang bersekolah rendah, iaitu Fakhrurrazi dan Mohd Nizamuddin. Anak sulungnya Nasibah tinggal dengan neneknya di Segambut.
Menurut cerita Fakhrurrazi, ketika tinggal di pondok buruk yang daif itu, sesekali ada tetamu datang. Bila mahu pulang, kalau tidak sempat dimaklumkan, tetamu akan terjatuh kerana disangkanya rumah itu ada tangga. Padahal tangga rumah selalu tiada kerana diangkat oleh musuh-musuh Abuya iaitu orang UMNO kampung itu.
Peperangan politik memang dahsyat waktu itu. Abuya menghabiskan masa dan wang untuk perjuangan PAS. Hidup betul-betul untuk berjuang. Dia tidak fikir sangat makan minum dan tempat tinggal. Sanggup semiskin itu demi perjuangan. Isterinya waktu itu pun makan gaji jadi guru agama. Tapi sama-sama sanggup miskin.
Namun di Kuala Lumpur lagi susah. Selama lapan tahun beliau tinggal di rumah setinggan di Datok Keramat. Selama itu berpindah rumah tiga kali. Dari rumah A (sewanya RM15) ke rumah setinggan B (sewa RM60 sebulan), kemudian ke rumah setinggan C, sewa RM30 sebulan. Akhir sekali beli rumah setinggan dengan nilai RM400. Di situ Abuya kena mengangkut air suku batu dari perigi.
Dalam suasana demikian itu, Abuya tetap berjiwa besar dengan cita-cita perjuangannya. Keyakinannya cukup luar biasa. Walhal keadaan lahirnya kelihatan begitu daif kerana berjuang habis-habisan untuk Islam.
Abuya mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan 1, Alam Shah sebagai guru agama. Namun tiap-tiap petang membawa ke malam, sepertilah di Tanjung Karang, Abuya habiskan masanya dengan PAS. Berziarahlah beliau dari rumah ke rumah untuk mengutip siapa-siapa yang mahu ikut PAS. Setahun sahaja lamanya Abuya melakukan kaedah ziarah untuk membuka cawangan-cawangan PAS, hasilnya ialah 17 ranting PAS di Kuala Lumpur, Gombak dan Setapak. Di Kampung Baru juga dapat dibuka cawangan. 13 Mei 1969 menyaksikan PAS cukup kuat di Kuala Lumpur. Abuya membuat kerja ini dengan seorang ketua kerani bernama Hamidon.
Gambarkanlah, seorang yang miskin boleh membuat kerja besar yang luar biasa, membuka ranting PAS sebanyak 17 buah hanya mengambil masa satu tahun. Kekuatan apa yang dimiliki sebenarnya. Berani saya mengatakan bahawa Abuya mempunyai kekuatan dalaman yang dibina dengan Zikir Agung amalannya. Hati yang kuat dengan Allah, mampu menarik hati-hati manusia mengikutinya. Apa yang dia cakap, masin. Orang ikut cakapnya dengan izin Allah.
Manakala di sekolah pula Abuya dengan semangat juangnya telah melakukan mogok ketiga. Guru besar sekolah kebangsaan itu memang dikatakan zalim terhadap guru. Datang Abuya satu tahun, dia telah menganjurkan mogok dengan cara tidak masuk kelas dan memulaukan perhimpunan pagi. Beliau disokong oleh 17 orang guru daripada 21 orang guru semuanya. Mogok itu berlangsung selama beberapa hari. Akhirnya pihak pejabat pelajaran ikut campur. Alhasil semua guru terlibat dipindahkan sekolah. Manakala Abuya digantung jawatan selama empat bulan, direhatkan di pejabat agama Datok Keramat. Gaji berjalan tapi Abuya tidak dibenarkan membuat sebarang kegiatan. Dudukduduk sahajalah jadi pemerhati kepada sistem di pejabat tersebut.
Selesai 4 bulan, Abuya ditukar pula ke Sekolah Rendah Inggeris Jalan Peel, Kuala Lumpur. Guru besarnya seorang India. Setahun saja di sana, Abuya dipindahkan lagi oleh pejabat agama ke Sekolah Rendah Agama Sungai Penchala. Hanya setahun di sana, dipindahkan pula ke Sekolah Rendah Kampung Batu, Kuala Lumpur. Pindah-randah yang dialami beliau ditambah dengan kerja-kerja perjuangan Islam yang semakin banyak membuatkan hati Abuya sudah tidak gembira dengan jawatan itu. Akhirnya setelah setahun di Kampung Batu, Abuya melepaskan jawatan rasmi sebagai guru agama kerajaan pada tahun 1973. Selamat tinggal jabatan agama.
Namun perjuangan Islam, kerja dengan Allah tetap diteruskan. Pada tahun 1967, ketika umur 30 tahun, Abuya mengambil keputusan untuk keluar dari PAS. Memang ada rasa tidak puas hati dengan gerakan politik yang dirasakan tidak menjurus kepada agama secara total. Ketidakpuasan itu sudah wujud sebelum itu. Sebab itu walaupun dalam PAS, namun Abuya membahagi-bahagi masanya juga pada jemaah-jemaah lain.
Contoh pada tahun 60-an, dia mengikut Jamiah Dakwatul Islamiyah yang berpusat di Masjid Jamek Mountbathen Kuala Lumpur, sebuah masjid lama, jemaah lama yang berumur 100 tahun. Namun di situ pun tidak sesuai dengan jiwa Abuya. Bertahan selama dua tahun untuk mengikuti kursus di Masjid Jamek bersama ramai orang UMNO, PAS dan India Muslim. Amalan sistem feudal oleh orang-orang UMNO, mengaji agama tradisi dan guru mengajar banyak secara akal, begitulah keadaannya kursus itu. Namun, hasil kursus di sana, Abuya dapat juga ilmu dan dapat nombor 1 dalam peperiksaan yang dibuat di hujung kursus.
Di Kuala Lumpur juga Abuya bertemu jemaah Ikhwan, hasil pertemuan sesama kaki masjid. Sempatlah satu tahun di dalamnya. Itu pun Abuya tidak setuju, sebab berkawan dengan mereka macam ayam berkawan dengan merak. Mereka kaya sedangkan Abuya miskin. Jurang terasa benar! Mereka golongan elit yang tidak berparti. Kawan-kawan Abuya dari kalangan guru agama tidak tahan dengan stail ini terus keluar. Tapi Abuya dengan semangat juang yang kuat boleh bertahan. Gurunya berfahaman Wahabi. Sering mensyirikkan orang dan perbahasannya pula tinggi-tinggi. Mengamalkan wirid Ma’thurat dan selalu marahkan Sayidina Muawiyah.
Menurut cerita Abuya, di antara sebab beliau tidak boleh lama dengan Jemaah Ikhwan ialah sikap kasta-kasta yang diamalkan. Sepatutnya dalam Islam, miskin kaya sama sahaja. Orang kaya pun kena ziarah orang miskin. Demikian sebaliknya. Jadi Abuya akan datang ke rumah-rumah besar mereka untuk mengikuti program kuliah yang digilir-gilirkan dari rumah ke rumah ahli. Di antara rumah besar yang Abuya datangi ialah Rumah Tamu Rufaqa’, di Jalan Duta sekarang ini. Dahulu ia kepunyaan seorang ahli Ikhwan bernama Ahmad bin Ismail. Dia seorang pegawai kanan kerajaan yang berasal dari Kedah.
“Namun kumpulan pengajian ini tak mahu buat program di rumah setinggan Abuya,” kata Abuya dengan sedih. Mereka memandang rendah sesama saudara kerana miskin. Abuya anggap hal ini tidak sepatutnya berlaku atas nama Islam. Abuya tidak yakin jemaah begini boleh ada masa depan.
Sempat juga setahun dengan Tabligh iaitu di tahun 1967. Dapatlah keluar ke Singapura. Tetapi hati pun tidak boleh terima. Gerakannya begitu tertutup. Hanya berdasarkan 6 prinsip. Siapa masukkan unsur lain, akan tertolak. Pernah beberapa kali Abuya sedang berceramah, diberhentikan kerana terkeluar dari 6 prinsip. Jemaah itu dikuasai oleh India Muslim. Sempatlah Abuya ikut tidur di masjid, usung periuk, pergi dari rumah ke rumah dan berkata, “Assalamualaikum pak cik, mak cik, datanglah ke masjid.” Mereka makan sirih maka berlumpurlah masjid. Akhirnya pihak penjaga masjid mengunci masjid.
Waktu ABIM ditubuhkan pada tahun 1971, Abuya membawa kawan-kawan seramai 60 orang masuk ABIM dengan tujuan menyatukan cita-cita dan mencari ramai kawan. Pernah Abuya berdamping dengan Anwar Ibrahim. Dua minggu sama-sama berdakwah ke Langkawi. Abuya bersyarah dan Anwar pun bersyarah. Sangat berbeza. Namun ABIM lantik Abuya menjadi Ketua Dakwah di Kuala Lumpur. Mula-mula Abuya menolak sebab waktu itu Abuya sudah ada Arqam tetapi kerana jawatan itu kosong selama dua bulan maka Abuya pun terima. Dalam mesyuarat agung pernah berselisih pendapat dan berbahas dengan Sanusi Junid. Pendapat Abuya ditolak oleh ABIM. Berbezanya Islam mereka. Bila mereka faham bahawa Abuya sudah ada fahaman dan cita-cita tersendiri, akhirnya dalam mesyuarat agung pertama, mereka tarik semua jawatan Abuya. Abuya dan kawan-kawan pun keluar dari ABIM.
Demikianlah sejarah hidup seorang pejuang, sekitar Kuala Lumpur sepanjang umur 26 hingga 32 tahun. Bukan main-main kerjanya. Habis jemaah Islam sekitar Kuala Lumpur yang mula bangkit dibacanya, dikaji, diselidiki dan dilihat hujung pangkalnya. Itu adalah bertujuan untuk meyakinkan dirinya bahawa rupa-rupanya kebangkitan itu diiringkan Tuhan dengan bermacam-macam jenama Islam, walhal sebenarnya menurut Abuya semuanya hanya bersadurkan Islam. Isi-isinya semua masih boleh dipertikaikan. Sementelahan ketika buku ini ditulis, badan-badan itu sudah kian tenggelam namanya.
Islam yang Abuya cari tidak juga berjumpa. Abuya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin. Sebelumnya, dia hanya berfikir untuk menjadi pengikut kepada jemaah yang menjadi permulaan kepada Imam Mahdi yang bakal tiba. Tapi akhirnya pada tahun 1969 selepas 13 Mei, ketika umur 32 tahun, Abuya terfikir untuk membuat jemaah sendiri. Tahun 1967, sebaik keluar dari PAS, beliau bersuluk selama dua tahun untuk baiki diri. Masih di Datok Keramat, di sebuah rumah yang disebut ‘Rumah Putih’, Abuya membuat kumpulan atau jemaah ‘Darul Arqam’. Di Rumah Putih itulah Abuya mengalami satu peristiwa yang tidak mungkin dilupakan iaitu mimpi berjumpa Sayidi Syeikh Suhaimi dan mengaji dengannya.
Kuala Lumpur menjadi saksi perihal pemuda atau putera rumah setinggan yang mempunyai cita-cita tinggi dan kefahaman Islam yang global. Bermodalkan taqwa hasil mengamalkan zikir dan sembahyang yang agung telah menamatkan pencariannya dengan akhirnya dia memberanikan diri untuk membuat kumpulan sendiri. Kumpulan yang semata-mata bertujuan membaiki diri, seperti yang mula-mula dibuat oleh Rasulullah di rumah Sahabat yang bernama Arqam. Sempena itulah Darul Arqam dipilih sebagai nama kumpulannya.
DARUL ARQAM SEBENARNYA
Umur 32 tahun terlalu muda sebenarnya untuk seseorang itu menjadi pemimpin kepada sebuah jemaah Islam. Tapi bagi Abuya, kematangannya mengatasi umurnya. Kerana satu hari dalam hidupnya bagaikan sepuluh hari bagi orang lain. Pencapaiannya, pengisian yang dialaminya, masalah yang dihadapkan kepadanya dan jalan keluar yang diperolehinya dalam hari-hari yang dilaluinya cukup banyak dibandingkan dengan apa yang berlaku kepada individu-individu lain.
Contoh bagaimana beratnya beban hidup dan perjuangan yang dipikulkan kepadanya ketika dia di sekitar umur remaja dua puluhan tahun. Waktu itu Abuya bekerja di Sungai Leman. Di sebelah malamnya dia berdakwah atas nama PAS. Suatu hari ketika pulang dari dakwah itu bersama dengan dua motosikal, tiba-tiba di tengah malam gelap itu, dia ditahan seseorang dengan kayu dan hendak dipukulnya. Bila Abuya berhenti untuk mengecam orang itu dengan lampu motor, orang itu terus lari lintang-pukang tapi sempat membaling kayu dan botol, yang pecah berkecai.
Di Sungai Leman juga, ketika Abuya balik dari berdakwah di tengah malam, sampai ke rumah di kawasan perkuburan, dilihatnya ramai polis sedang mengelilingi rumahnya. Ada aduan yang kononnya Abuya sibuk-sibuk itu kerana bekerjasama dengan Indonesia dalam konfrontasi dengan Malaysia waktu itu. Walhal Abuya tidak pun berbuat demikian. Hasil siasatan, didapati Abuya bersih dari tuduhan itu.
Ketika berdakwah di Sungai Nibong, Abuya berdua dengan Nagiman seorang guru silat. Oleh kerana Abuya hendak menziarahi bapa angkatnya, Pak Karim, maka kawannya pergi dulu ke tempat dakwah itu sendirian. Tapi tiba-tiba Nagiman pulang termengah-mengah berjumpa Abuya. Katanya tiga orang memukulnya di tengah jalan. Dia melawan dan basikalnya terjatuh dalam sungai.
Hari pertama menjadi guru agama kerajaan di Klang, Selangor, di sebelah petang Abuya pergi kenduri arwah. Ketika sedang makan, serambi rumah sebelah yang Abuya duduk, tiba-tiba roboh. Terperosoklah Abuya ke bawah rumah, disimbah kuah gulai yang tumpah. Peristiwa itu bagaikan simbol akan terperosoknya Abuya oleh sistem yang mula ditumpanginya itu.
Di Sungai Penchala pada tahun 1973, surau diserbu orang selepas Maghrib dengan parang. Abuya cakap jangan lawan. Walaupun parang sudah di leher Hashim Karim namun penyerang bersurai dengan baik.
Demikian contoh-contoh dari seribu satu macam lagi cabaran, halangan dan ujian peperiksaan yang Abuya ambil dalam persekolahannya untuk jadi pejuang dan pemimpin. Orang lain mungkin diperiksa di kertas untuk lulus. Abuya diuji di gelanggang realiti yang memerlukan seluruh upaya kreativiti dan ketahanan mental serta roh bagi melepasinya. Alhamdulillah Abuya seperti diilhamkan untuk menghadapinya dengan baik.
Pernah di satu hari ketika subuh masih gelap, Abuya sedang mandi dengan memakai kain basahan di masjid, tibatiba mukanya disuluh dengan torchlight dan sebatang kayu diangkat untuk memukulnya, angkara PAS kuat di Tanjung Karang. Sedang Abuya bersiap-siap hendak melawan dan kemas-kemaskan kain basahan, pelik! Orang itu sudah lari lintang-pukang. Kenapa? Abuya agak ada pertolongan Allah dengan mendatangkan sesuatu yang menakutkan orang itu. Sebab selepas itu Abuya dengar orang kata Abuya ada jin.
Bila ditanya betulkah Abuya ada ilmu jin, khadam dan lain-lain, Abuya menjawab, “Nak didik manusia pun susah, kalau boleh tundukkan jin, hebatlah!”
Ada orang kata, Ustaz Ashaari mesti ada memakai ilmu apa-apa, sebab itu jemaah dia boleh pergi sejauh itu. Abuya jawab memang Allah berjanji, pakaian taqwa itu adalah terbaik kerana ia akan mendatangkan bantuan Allah.
Strategi menghadapi ujian yang Abuya pakai sangat berkesan. Abuya bagai diajar-ajarkan. Begitu juga langkahlangkah yang Abuya ambil dalam perjuangan bukan bersifat akal biasa. Lebih-lebih lagi buah fikiran-buah fikiran Abuya dalam perjuangan memang berbeza sungguh dengan apa yang ada pada pemimpin-pemimpin Islam lain. Semuanya bukan dari akal. Contohnya:
1. Berbeza dengan badan-badan Islam lain yang dipimpin oleh pemimpin masing-masing, Abuya buat cara hidup dan sistem sendiri. Buka kedai, kilang, studio, sekolah, klinik, dan lain-lain projek secara Islam dan dikaitkan dengan Tuhan. Mungkin orang lain pun nak buat juga tetapi tidak mampu. Bukanlah kecil sistem itu kalau sampai ditakuti sesetengah pihak! Soalnya di mana Abuya belajar untuk berbuat itu semua dan diambil dari mana semua kekuatan itu? Kalau ianya bersifat akal tentu akal-akal bijak pandai lain pun mampu mencetuskannya juga.
1 Dalam hal hendak mencari seramai-ramai kawan dan untuk belajar sebanyak-banyak kaedah, Abuya masuk semua badan-badan Islam. Masuk secara komited dan lama! Semua pesantren di Malaysia Abuya pergi dan yang besar-besar di Indonesia semua telah diziarahinya. Kemudian dia berkata sepatutnya semua badan Islam terutama pondok, buat kedai sendiri secara muamalah Islam bukannya biarkan Cina buka kedai depan pondok Islam. Pondok Islam perlu membangun bukannya jumud di atas akhlak yang baik. Dengan beraninya Abuya mengkritik sistem yang jumud di pondok-pondok itu, dengan menyatakan sebenarnya itu bukan dari ajaran Islam yang sebenar, tapi diasaskan oleh penjajah supaya imej Islam jadi serendah itu. Di sini, sekali lagi kita lihat ilmu yang keluar dari Abuya itu bukan dari akal sematamata. Abuya melihat dengan hatinya dan sulit untuk akal menolak hujah-hujahnya.
2 Di waktu umat Islam kini berpecah kepada bermacammacam fahaman dan firkah, masing-masing bercakap tentang Islam masing-masing. Tapi Abuya memberi reaksi, bahawa Islam sudah jadi ideologi, bukan agama lagi bagi penganut-penganutnya. Sebab semuanya gagal membawa Tuhan dalam syariatnya. Agama ialah wahyu dari Tuhan. Ia mesti diasaskan atas rasa cinta dan takutkan Tuhan. Syariat yang dibuat bukan niat kerana perintah dan larangan Allah. Itu tidak dianggap agama. Itu ideologi namanya. Akal tanpa Tuhan.
Ada profesor dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, ilmu paduan antara roh tauhid dengan fekah yang dirancangkan oleh Universiti Islam Antarabangsa kepada setiap individu siswa atau siswi itu, tidak berjaya. Roh tauhid atau iman gagal diterapkan. Tinggallah fekah sebagai ilmu yang tidak mampu dipraktikkan. Bahkan di pondok pun kata Abuya, banyak maksiat tapi ditutup. Selepas sembahyang dengan serban di kepala lagi, imam duduk bertinggung di tempat kaum ibu yang sudah tidak menutup aurat. Sembahyang tapi tidak takut Tuhan.
Memang kebanyakan orang Melayu Islam begitulah agamanya. Orang pun tidak anggap ia satu kesalahan kerana sudah menjadi tradisi. Tapi siapa mengajar Abuya untuk memecah tradisi tersebut dan mengasaskan satu cara baru dalam hidup orang Melayu ini? Itulah yang dimaksudkan bahawa ilham sebagai satu sumber ilmu yang diajarkan Tuhan kepada mana-mana hamba-Nya untuk tujuan menghidupkan semula agama yang sebenar.
1 Dalam hal menghadapi fitnah, Abuya memilih untuk tidak menjawab, bahkan berbuat baik kepada orang yang membuat jahat itu. Ini bukan akal. Inilah agama. Tapi berapa ramai orang yang boleh buat sedemikian? Dalam ISA, Abuya bekerjasama dengan polis. Bukannya caci, maki dan hamun. Alhasil ramai polis menerima baik Abuya. Tanpa mengorbankan agama, Abuya berjaya berada di tengah orang-orang yang pada mulanya adalah penentang.
2 Berikut ialah ciri-ciri seorang yang Abuya anggap teman baiknya sekitar tahun lima puluhan. Memang waktu remaja lagi, cara dia menilai seseorang lain dari orang lain.
Namanya Zakaria Ansari, orang Banjar yang tinggal di Sungai Leman, Tali Ayer 8. Dia orang kuat PAS di tahun lima puluhan. Bekerja sebagai petani, buat bendang dan bela ayam. Persekolahan hanya sampai darjah dua rendah, tidak tahu membaca Rumi dan tidak tahu bahasa Arab. Sekarang berumur lapan puluh tahun dan ada sekolah sendiri di Batang Berjuntai.
Demi perjuangan dia sanggup berkorban habis-habisan. Ibadahnya kuat. Untuk berdakwah sanggup mengayuh basikal berpuluh-puluh batu. Pergaulan bebas dan riba ditentangnya habis-habisan. Halal haram sangat dijaga. Demi itu, kalau orang hendak pukul, dia tidak lari, sangat berani kepada yang hak. Kuat berpegang kepada syariat, berakhlak tinggi, tegas dan keras dalam hal hukum.
Datuk Asri presiden PAS waktu itu pernah memuji Ustaz Zakaria dalam mesyuarat agung kerana orang kagum dengan kemampuannya berpidato. Sangat pintar dan bagaikan fasih bahasa Arab. Walaupun bukan tokoh pusat tapi terkenal di kalangan ahli PAS tahun lima puluhan, dari utara ke selatan.
Keikhlasannya dalam berjuang terlihat bilamana sanggup tidur di masjid dan makan biskut sahaja, suka dengan kitab tua dan macam Abuya juga, percaya Imam Mahdi. Waktu sama-sama bergilir-gilir membaca kisah akhir zaman, sama-sama menangis kerana rindunya dengan zaman indah untuk umat Islam itu. Dia isytihar Abuya adik angkatnya! Peribadi begini kata Abuya, tidak dijumpai dalam PAS waktu itu dan sekarang.
Memilih kawan dengan kategori-kategori seperti disebutkan tadi memang bukan senang untuk dibuat. Biasanya remaja berkawan ikut suka dan saja-saja.
Demikian kematangan dan kekuatan yang diwujudkan dalam diri seorang yang direzekikan untuk memimpin sebuah jemaah Islamiah bernama Darul Arqam di usia tiga puluh dua tahun. Rasanya usia itu cukup untuk Abuya. Tetapi ada yang lebih dari semua itu berlaku pada diri Abuya sejurus sebelum Darul Arqam dibangunkan.
Hati Abuya dikuasai oleh perasaan yang amat kuat untuk membaiki diri di sisi Allah. Perasaan itu datang dan memutar fikiran Abuya dari sebelumnya. Kerja-kerja dalam parti politik Islam yang dibuat selama sepuluh tahun dirasakan sia-sia kerana bukan diasaskan atas dasar usahakan taqwa yakni membaiki diri. Orang yang tidak faham membuat bermacammacam andaian mengapa Abuya meninggalkan PAS. Namun bagi Abuya fakta di atas itulah sebab sebenarnya.
Dua tahun lamanya Abuya bekukan diri dari keluar dan aktif. Abuya menumpukan sepenuhnya usaha-usaha membaiki diri dengan taqwa, ibadah, taubat, zikir, berdoa dan menangis menyesali dosa-dosa. Begitulah hatinya diarahkan. Rupanya kegiatan Abuya diminati juga oleh beberapa kawan rapatnya. Jadilah program itu secara berkumpulan. Selepas dua tahun, 1969, Abuya muncul ke tengah masyarakat dengan satu perjuangan gaya baru iaitu memperjuangkan dakwah dan kasih sayang di atas kaedah membaiki diri dengan taqwa. Lahirlah jemaah DARUL ARQAM.
Selamat tinggal PAS. Selamat tinggal. Sekali lagi selamat tinggal wahai dunia politik yang kotor. Berada di dalamnya, hati atau roh dipupuk untuk megah dan bangga. Manusia lupa diri sebagai hamba yang akan ditanya dan dihukum Tuhan. Tuhan yang patut ditakuti hamba-hamba, sudah tidak dipedulikan lagi oleh orang-orang politik sekalipun atas nama Islam.
Nabi-nabi menyeru kaumnya dengan penuh takut kalaukalau tidak beradab dengan Tuhan, tapi politik Islam membenarkan pejuang memaki hamun kaum yang diserunya. Mereka bangga kerana politik Islam. Sepatutnya mereka malu dan takut kepada Allah kerana merezekikan mereka dengan kebaikan. Lalu akan mendoakan dengan kasih sayang kepada orang-orang yang belum direzekikan.
Siapa mengajar Abuya mendapat ilmu sedalam itu? Merujuk kepada cerita Embah Mahmud, memang Syeikh Suhaimi yang memantau Abuya dan dia telah membalikkan hati Abuya dengan izin Allah agar benci dengan politik. Maka berlakulah sejarah di mana Abuya lari kepada satu perjuangan yang menjadikan rumah ‘Arqam bin Abi Arqam’ sebagai inspirasi permulaan tapak perjuangannya.
No comments:
Post a Comment